Sindiket seleweng diesel guna lori tangki sebagai stor tumpas lagi

Sindiket seleweng diesel guna lori tangki sebagai stor tumpas lagi

S. JEGAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada peralatan memindahkan minyak yang dirampas susulan serbuan ke atas sebuah lori tangki yang dijadikan stor bergerak untuk menyimpan diesel ketika ditemui di Stor Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan lori tangki sebagai stor bergerak dalam serbuan di sekitar Butterworth, malam tadi.

Dalam serbuan sempena Ops Tiris 4.0 (bersepadu) itu, dua lelaki warga India yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan, ketika ditahan, kedua-dua suspek dipercayai sedang sibuk memindahkan diesel dari sebuah lori tangki berkapasiti 17,000 liter kepada lori tangki lain yang berkapasiti 28,000 liter.

Katanya, mereka juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan menguruskan barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan di bawah peruntukan undang-undang yang ditetapkan ketika diminta berbuat demikian.

“Sehubungan itu, tindakan penyitaan telah dilakukan ke atas kedua-dua buah lori tangki selain beberapa peralatan berkaitan termasuk satu set hos paip dan satu unit pam serta beberapa dokumen perniagaan bagi membantu siasatan.

“Dalam serbuan yang sama, KPDN turut merampas kira-kira 21,190 liter cecair yang disyaki diesel sekali gus menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM327,963.80,” katanya ketika ditemui di Stor Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, berdasarkan risikan dan intipan yang dijalankan, pihaknya percaya bahawa sindiket itu telah beroperasi sejak lebih sebulan yang lalu.

“Kita juga percaya bahawa modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini hampir sama seperti sindiket penyelewengan diesel menggunakan lori tangki yang dikesan dalam serbuan di Simpang Ampat, Februari lalu.

“Siasatan mendapati, kesemua diesel yang dikumpul kemudian akan dijual semula di pasaran luar dari Pulau Pinang untuk mengaut keuntungan yang besar,” ujar beliau.

Jegan berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN