KUALA TERENGGANU: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri (MyKad) selepas menahan dua suspek berusia 35 tahun dan 39 tahun yang kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kedua-dua suspek ditangkap dalam serbuan pada 23 April lalu di Besut, dekat sini.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan kes narkotik.
“Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pemalsuan termasuk dua unit komputer riba, dua unit pencetak, mesin laminator dan 110 keping kad kosong.
“Turut dirampas peralatan komunikasi seperti pelbagai telefon bimbit, kad SIM daripada beberapa syarikat telekomunikasi dan peranti WiFi mudah alih,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis menemukan 12 keping kad pengenalan Malaysia, dua lesen memandu serta pelbagai keratan nama dan nombor kad pengenalan yang disyaki digunakan bagi tujuan pemalsuan dokumen.
“Selain itu, beberapa kad bank daripada pelbagai institusi, kad e-dompet serta wang tunai berjumlah RM550 turut dirampas. Suspek berusia 39 tahun mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan teknologi maklumat dan hubungan dengan suspek kedua adalah sebagai kawan,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek membuat 12 permohonan pinjaman dengan nilai RM40,000.
“Semua MyKad yang dirampas menggunakan nama dan nombor kad pengenalan milik individu sebenar. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati gambar pada MyKad tersebut diubah dan tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.
“Polis telah memanggil individu yang maklumat peribadi mereka digunakan dan semua mereka mengesahkan tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan butiran tersebut,” katanya.
Pihaknya percaya suspek terlibat secara langsung dalam kegiatan mencetak dan memalsukan MyKad bagi tujuan penipuan kewangan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain kesalahan pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan kad pengenalan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Seksyen 420 serta 468 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










