Galatek sasar pelaburan RM471 juta, buka kilang pertama di Pulau Pinang

Galatek sasar pelaburan RM471 juta, buka kilang pertama di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tengah) bersama barisan pengurusan Galatek Technologies dan Granite Asia serta tetamu kehormat semasa merasmikan Hab Pembuatan dan Penghantaran Global Galatek di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG: Galatek Technologies (Galatek) merancang untuk melabur sehingga AS$100 juta (RM471.5 juta) dalam tempoh lima tahun akan datang, susulan pembukaan rasmi kemudahan pembuatan, pemasangan dan penghantaran pertamanya di Malaysia.

Pelaburan berskala besar oleh penyedia global bagi automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), peralatan semikonduktor dan teknologi sains hayat itu bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik bagi pembuatan maju dan rantaian industri semikonduktor berteknologi tinggi.

Sebagai permulaan, syarikat yang mendapat sokongan pelabur institusi termasuk Granite Asia itu telah menyuntik pelaburan fasa awal sebanyak AS$2 juta (RM9.4 juta) bagi memulakan operasi kemudahan di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan Galatek untuk bertapak di Pulau Pinang membuktikan keyakinan tinggi syarikat global terhadap daya saing negeri tersebut yang bukan sahaja bertindak sebagai pangkalan pembuatan, malah sebagai pusat inovasi dan pengeluaran bernilai tinggi.

“Komitmen Galatek terhadap pelaburan dan pengembangan tenaga kerja ini mengukuhkan lagi reputasi Pulau Pinang sebagai ‘Silicon Valley of the East’ iaitu destinasi pilihan utama bagi syarikat teknologi untuk berinovasi, berkembang dan terus maju,” katanya semasa Majlis Perasmian Hab Pembuatan dan Penghantaran Global Galatek di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed serta Rakan Pengurusan Kanan Granite Asia, Jenny Lee.

Kemudahan baharu itu akan memfokuskan kepada pembuatan peralatan canggih, integrasi sistem, pemasangan, pengujian dan penghantaran bagi menyokong industri semikonduktor, elektronik maju serta sains hayat, di samping meningkatkan rantaian pembekal dan perolehan tempatan.

Mengulas lanjut mengenai keupayaan kemudahan baharu itu, Kon Yeow berkata, mesin-mesin yang ditempatkan di dalam kilang berkenaan amat diperlukan oleh sektor berkaitan, khususnya bagi tujuan pengujian serta penyediaan solusi berteraskan kecerdasan buatan (AI).

“Kemasukan ini memperkukuh ekosistem kita kerana rantaian bekalan sedia ada masih mempunyai jurang tertentu yang perlu diisi supaya kita dapat melengkapinya demi memberi perkhidmatan terbaik kepada kilang-kilang tempatan mahupun pelanggan di luar negara.

“Walaupun ini merupakan pelaburan yang bukan berskala besar dari segi nilai wang, ia amat penting untuk memperkukuh rantaian kita sebagai satu hub semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta sains hayat. Jadi, kita amat menyambut baik pelaburan seumpama ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Galatek, David Tian berkata, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi strategik operasi serantau kerana mempunyai kepakaran industri yang mendalam, rantaian bekalan matang serta ketersambungan yang kukuh ke pasaran global.

“Langkah ini merupakan strategi jangka panjang kami di Asia Tenggara. Di luar konteks pembuatan, kami menyasarkan untuk membina keupayaan kejuruteraan tempatan, memperluas kerjasama dengan pembekal Malaysia serta menyumbang kepada pertumbuhan industri teknologi tinggi negara,” katanya.

Bagi fasa awal tahun ini, pembukaan kilang dijangka bakal mewujudkan antara 20 hingga 30 peluang pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan, operasi, perolehan, jualan dan sokongan teknikal, sebelum dikembangkan kepada 100 tenaga kerja tempatan dalam tempoh lima tahun secara berfasa. – UTUSANhttp://utusan.com.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN