PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) berjaya menyerahkan kesemua 153 unit kediaman projek Areca Terrace Fasa 4B di Bandar UDA Utama, Johor Bahru lebih awal daripada jadual asal, sekali gus menyaksikan keseluruhan unit projek tersebut habis dijual.
Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu mengadakan majlis penyerahan kunci berkenaan secara berperingkat pada 18 hingga 21 Mei lalu.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Norazim Shukor berkata, sambutan luar biasa yang diterima itu mencerminkan kepercayaan tinggi pembeli terhadap kualiti produk dan jenama UDA dalam memenuhi kehendak pasaran semasa.
Menurutnya, projek kediaman berkonsepkan moden dan praktikal dengan susun atur ruang efisien itu berjaya menarik minat sebahagian besar pembeli yang terdiri daripada golongan profesional serta keluarga muda berusia antara 30 hingga 45 tahun.
“Bagi projek kediaman ini, UDA turut berkolaborasi bersama IKEA Tebrau Johor dalam menghasilkan unit contoh bercirikan minimalis dan berfungsi, yang mana ia menjadi tarikan utama dalam membantu pembeli membuat pilihan.
“UDA akan terus mengambil langkah proaktif untuk memperkenalkan lebih banyak pembangunan rumah teres dua tingkat yang menekankan susun atur praktikal, reka bentuk kontemporari serta nilai tambah untuk kehidupan berkeluarga pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Areca Terrace Fasa 4B merupakan kediaman jenis pegangan kekal yang menawarkan rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,518 kaki persegi, dilengkapi dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air serta kemudahan persekitaran kejiranan berpagar.
Pembangunan matang di Bandar UDA Utama itu turut menawarkan kelebihan lokasi strategik yang berhampiran dengan institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pusat membeli-belah.
Selain itu, ia memiliki akses mudah dan terus ke Pusat Bandar Raya Johor Bahru, Laluan Kedua (Second Link) ke Tuas Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru. – UTUSAN










