Permintaan perlahan, harga minyak turun di bawah paras AS$90 setong - Utusan Malaysia

Permintaan perlahan, harga minyak turun di bawah paras AS$90 setong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan permintaan minyak global yang lebih perlahan dijangka mengehadkan kenaikan harga minyak mentah dalam tempoh terdekat, sekali gus menyumbang kepada kestabilan inflasi dan prospek ekonomi dunia pada tahun ini.

Pada pukul 5 petang semalam, minyak mentah Brent didagangkan pada AS$86.15 (RM350.27) setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada AS$83.58 (RM339.82) setong.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah Brent dijangka bergerak dalam lingkungan AS$75 (RM304.39) hingga AS$90 (RM365.27) setong tahun depan, kecuali berlaku gangguan bekalan yang besar akibat konflik geopolitik, khususnya yang menjejaskan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

“Pertumbuhan permintaan minyak yang lebih sederhana menunjukkan ekonomi global masih berkembang, namun pada kadar yang lebih perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Permintaan minyak dunia masih mencatat pertumbuhan positif, tetapi pada kadar yang lebih rendah. Situasi ini mencerminkan penyederhanaan aktiviti ekonomi global dan bukannya petanda kemelesetan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, persekitaran harga minyak yang lebih stabil dijangka membantu mengekalkan tekanan inflasi global pada tahap terkawal, sekali gus mengurangkan risiko kenaikan kos tenaga yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila harga minyak bergerak dalam julat yang lebih stabil, tekanan terhadap kos pengangkutan, pembuatan dan logistik dapat dikurangkan. Ini membantu mengekang inflasi serta memberi ruang kepada bank-bank pusat utama dunia untuk mempertimbangkan pelonggaran dasar monetari.

“Keadaan itu turut memberi manfaat kepada negara-negara pengimport minyak yang berpeluang menikmati kos tenaga yang lebih rendah, selain menyokong usaha pemulihan ekonomi dalam persekitaran kadar faedah yang berpotensi lebih akomodatif,” katanya.

Menurutnya, negara-negara pengimport tenaga seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah, Jepun, India dan Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada kos import yang lebih rendah. Sebaliknya, negara pengeksport seperti Arab Saudi, Rusia dan Nigeria mungkin berdepan tekanan fiskal akibat penyusutan hasil petroleum.

Dalam masa sama, jelasnya, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) terus memainkan peranan penting dalam menstabilkan pasaran minyak global melalui kawalan bekalan dengan mewujudkan paras sokongan harga lantai. 

“Apabila harga minyak jatuh terlalu rendah, OPEC lazimnya akan mengurangkan pengeluaran antara satu hingga dua juta tong sehari bagi menyokong pemulihan harga.

“Langkah sedemikian telah digunakan beberapa kali sepanjang tempoh 2020 hingga 2024 bagi mengelakkan kejatuhan harga yang terlalu mendadak.

“Namun, kuasa OPEC dilihat semakin terhad berbanding era 1980-an. Organisasi itu tidak mempunyai pengaruh terhadap faktor permintaan seperti penggunaan EV, kemelesetan ekonomi atau ketegangan perdagangan global. 

“Selain itu, peningkatan pengeluaran dari negara bukan anggota seperti Amerika Syarikat, Brazil dan Guyana turut mengurangkan keberkesanan kawalan bekalan OPEC,” katanya.

Menurut Aimi Zulhazmi, sebarang gangguan serius di Selat Hormuz berpotensi memberi kesan yang jauh lebih besar berbanding sebarang pelarasan pengeluaran oleh OPEC.

“OPEC hari ini lebih berfungsi sebagai penstabil pasaran berbanding penentu harga. Ia boleh mengelakkan harga jatuh ke paras terlalu rendah, tetapi tidak lagi mempunyai kuasa penuh untuk mengekalkan harga melebihi AS$100 setong,” katanya.

Dalam pada itu, CIMB Investment Bank Bhd berkata, perkembangan itu dijangka membawa kepada penurunan mingguan kedua berturut-turut selepas Donald Trump membatalkan rancangan serangan terhadap Iran dan memberi isyarat bahawa perjanjian antara AS dan Iran hampir dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan dijangka berterusan memandangkan Tehran masih belum memberi kelulusan muktamad terhadap sebarang perjanjian,” katanya.

Selain itu, OPEC menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak global bagi 2026 kepada 970,000 tong sehari, namun pengurangan pengeluaran sebanyak 190,000 tong sehari pada Mei dijangka mengekalkan kekangan bekalan dalam pasaran walaupun pertumbuhan permintaan semakin sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN