Rundingan AS-Iran jadi tanda tanya - Utusan Malaysia

Rundingan AS-Iran jadi tanda tanya

Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa bakal menandatangani surat hasrat atau memorandum persefahaman (MoU) dengan Iran dalam minggu ini, sekali gus membuka jalan kepada rundingan lanjut mengenai perjanjian jangka panjang antara kedua-dua negara. 

Menurut dua sumber yang mengetahui usaha diplomatik berkenaan, memorandum itu akan melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari dan memulakan tempoh rundingan bagi memperincikan kandungan perjanjian AS-Iran. Tempoh tersebut boleh dilanjutkan sekiranya diperlukan.

Antara langkah awal yang dicadangkan ialah memastikan kebebasan perdagangan menerusi pembukaan semula dan pembersihan laluan di Selat Hormuz daripada ancaman periuk api laut selepas perang Iran bermula pada 28 Februari lalu.

“Secara prinsip, Iran akan bersetuju untuk tidak memperkaya uranium selama 15 hingga 20 tahun serta meleraikan kemudahan nuklearnya. 

“Sebagai balasan, Teheran akan menerima pelepasan kewangan dan pengurangan sekatan secara berperingkat, bergantung kepada tahap pematuhannya terhadap syarat perjanjian,” katanya.

Menurut sumber berkenaan, komuniti perisikan AS tidak menilai bahawa Iran memiliki senjata nuklear atau sedang berusaha membinanya, sebaliknya hanya berusaha berada pada ambang keupayaan tersebut. 

Bagaimanapun, Iran sebelum ini enggan membenarkan pemeriksa nuklear antarabangsa memasuki negara itu bagi mengesahkan program itu adalah untuk tujuan aman.

Semalam Presiden AS, Do­nald Trump berkata, beliau memba­talkan serangan yang dirancang terhadap Iran selepas semua pihak yang terlibat, termasuk AS dan beberapa negara Asia Barat bersetuju dengan perkara-perkara ter­akhir dalam cadangan perjanjian berkenaan.

Beliau berkata, lokasi majlis menandatangani perjanjian itu akan diadakan di Eropah.

Trump turut memaklumkan beliau tidak akan menghadiri majlis tersebut, sebaliknya Naib Presiden AS, JD Vance akan mewakilinya. Majlis itu berkemungkinan berlangsung seawal hujung minggu ini di Eropah.

“Selat Hormuz akan dibuka sebaik sahaja kita menandatanganinya,” kata Trump.

Sementara itu, laporan Axios menyebut empat pesawat pe­ngangkut C-17 Tentera Udara AS berlepas ke Eropah dengan membawa peralatan bagi kemungkinan lawatan Vance ke Geneva untuk menghadiri majlis pemeteraian perjanjian tersebut.

Menurut Axios, persetujuan awal dicapai pada Rabu selepas rundingan melibatkan pengantara Qatar, Ali Al-Thawadi dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dengan utusan Trump serta dua utusannya, Steve Witkoff dan Jared Kushner, turut terlibat.

Namun, tidak lama selepas kenyataan itu dibuat, Agensi Berita Fars yang mempu­nyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) me­metik sumber yang rapat dengan pasukan perunding Iran menafikan dakwaan persetujuan awal sudah dicapai.

Sumber itu berkata, tiada teks memorandum persefahaman awal dengan AS yang telah diluluskan setakat ini.

Kementerian Luar Iran me­nyatakan Teheran masih belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan perjanjian itu, manakala Axios melaporkan ia masih menunggu kelulusan kepimpinan tertinggi Iran.

Menurut laporan, perjanjian yang dicadangkan turut merangkumi peranan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memeriksa tapak nuklear Iran dan menguruskan bahan nuklear yang masih berada di lokasi terbabit.

Jika dimeterai, perjanjian tersebut dijangka dikenali sebagai ‘Perjanjian Islamabad’, sebagai menghargai peranan pe­ngantaraan yang dimainkan oleh Qatar dan Pakistan.

Trump  turut memuji peranan Turkiye dalam usaha mencapai persetujuan itu, sambil menyifatkan Presidennya, Recep Tayyip Erdoğan sebagai ‘hebat’ kerana membantu menjayakan rundingan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN