GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk menebus kekecewaan selepas tewas kepada Sabah FC dalam aksi final Piala Cabaran minggu lepas tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang lawan yang sama dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, petang ini.
Turun tanpa beberapa tonggak utama seperti ayam tambatan, Dylan Wenzel-Halls; Adib Raop, Shamie Iszuan dan kapten, Stefano Brundo, tuan rumah bagaimanapun dilihat agak goyah khususnya pada aksi separuh masa pertama perlawanan.
Pelawat yang turut merehatkan beberapa pemain utama termasuk penjaga gol, Damien Chien; Gabriel Peres, Dean Pelekanos juga tidak begitu agresif mengasak ke kubu tuan rumah bagi memburu gol dalam perlawanan itu.
Justeru, tidak banyak percubaan berbahaya daripada kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung dan aksi dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang sahaja.
Masuk babak kedua, skuad Harimau Kumbang khususnya dilihat mula menyusun strategi dan bermain secara lebih agresif untuk memecah kebuntuan jaringan.
Bagaimanapun, kekebalan benteng pertahanan Sang Badak yang dikemudi oleh kapten, Dominic Tan menggagalkan hasrat tuan rumah untuk menjaringkan gol.
Peluang keemasan Penang FC untuk mendapatkan gol kemudian hadir pada minit ke-74 perlawanan apabila pemain gantian, Douglas Coutinho mendakwa telah dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Sabah FC, Dane Ingham.
Namun, pengadil, Muhammad Munir Mohd. Izam memutuskan untuk membatalkan tendangan berkenaan selepas meneliti ulang tayang insiden terbabit menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Malang menimpa Sabah FC apabila mereka kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian, Jafri Chew dilayangkan kad merah kerana mengasari Omid Musawi pada masa-masa kecederaan.
Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Penang FC gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol dan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.-UTUSAN










