PETALING JAYA: Sektor pertanian negara perlu melalui transformasi menyeluruh bagi memastikan ia kekal relevan, berdaya saing dan mampu menarik minat generasi muda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menyedari keperluan tersebut dengan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi, inovasi serta pendekatan latihan yang lebih responsif terhadap kehendak industri.
“Kerajaan menyedari bahawa sektor pertanian perlu melalui transformasi menyeluruh dengan memanfaatkan teknologi, inovasi serta pendekatan latihan yang lebih responsif kepada keperluan industri.
“Sehubungan itu, dapatan dan syor daripada bengkel ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara yang akan datang untuk pertimbangan dan keputusan dasar di peringkat tertinggi.
“Saya yakin pendekatan yang lebih terselaras ini akan meningkatkan keberkesanan program TVET pertanian, memperkukuh kerjasama antara Kementerian dan agensi pelaksana serta mampu menarik lebih ramai golongan belia menceburi sektor pertanian sebagai kerjaya berdaya maju sekali gus meningkatkan imej dan daya tarikan TVET pertanian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan sokongan Majlis TVET Negara menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian, yang menghimpunkan tujuh kementerian utama dalam ekosistem TVET negara.
Ia memfokuskan kepada penyelarasan program TVET Pertanian merentas kementerian bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, perbincangan turut menjurus kepada pengenalpastian program-program berimpak tinggi dan model pelaksanaan yang mampan agar setiap inisiatif yang dirangka mampu memberikan pulangan optimum kepada negara dan rakyat.
“Keupayaan institusi latihan juga diperkukuh melalui usaha meningkatkan kualiti tenaga pengajar, memodenkan fasiliti latihan serta menyelaras kurikulum berasaskan keperluan industri semasa.
“Selain itu, penekanan diberi kepada pengukuhan kolaborasi strategik bersama pihak industri, peluasan peluang penempatan latihan dan peningkatan kebolehkerjaan graduan serta aspek pembangunan agropreneur terus diperkasa sebagai pemangkin transformasi sektor pertanian yang lebih inovatif, berdaya saing dan menarik minat generasi muda,” katanya. –UTUSAN










