Dalam satu inisiatif penuh makna yang berteraskan rasa syukur dan tanggungjawab kepada alma mater tercinta, alumni Sekolah Dato’ Abdul Razak Alumni (SDARA) baru-baru ini melancarkan Program Biasiswa SDARA Scholars yang bertujuan membantu pelajar yang layak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
Majlis penganugerahan diadakan di Dewan Kuliah Tun Dr Mahathir Mohamad, Sekolah Dato’ Abdul Razak, (SDAR) Sg. Gadut, Seremban. melibatkan seramai 28 orang pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah dipilih sebagai kumpulan penerima pertama biasiswa tersebut.

Setiap pelajar akan menerima RM2,000 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan RM56,000 setahun bagi menyokong perjalanan pendidikan mereka.
Program biasiswa berkenaan direalisasikan melalui sumbangan lebih 3,000 ahli SDARA dari seluruh pelosok dunia, mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara alumni dan alma mater mereka.
Berteraskan falsafah sekolah “Berilmu Untuk Berjasa”, para alumni telah berganding bahu bagi memastikan peluang yang pernah mereka nikmati terus memberi manfaat kepada generasi baharu warga SDAR yang merentasi tujuh dekad sejarah sekolah yang bertuah ini.
Inisiatif berkenaan merupakan komitmen jangka panjang melebihi RM300,000 dalam tempoh lima tahun akan datang, membuktikan kesungguhan SDARA dalam memupuk potensi dan membantu pelajar yang menghadapi kekangan kewangan tetapi memiliki semangat dan tekad untuk berjaya.
Yang Dipertua SDARA, Yazdi Che Ya berkata, lebih daripada sekadar bantuan kewangan, Program Biasiswa SDARA melambangkan semangat memberi kembali, satu penghargaan ikhlas daripada alumni yang pernah melalui lorong yang sama, duduk di dalam kelas yang sama, dan berkongsi impian yang sama.

“Bagi kami sebagai alumni, SDAR bukan sahaja menyediakan pendidikan untuk kami, tetapi juga telah mencorakkan nilai serta peribadi kami. Biasiswa ini adalah satu cara kami menzahirkan rasa syukur dan terima kasih serta memastikan pelajar yang layak, tanpa mengira latar belakang, diberi peluang untuk berjaya,” katanya
Program berkenaan bertujuan mengubah kehidupan pelajar berbakat daripada keluarga kurang berkemampuan, membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dan merealisasikan potensi sebenar mereka.
Melalui usaha kolektif tersebut , alumni SDARA berharap dapat menyemai keyakinan, ketabahan dan kepercayaan bahawa peluang serta pendidikan mampu mengubah kehidupan.
Ketika kumpulan pertama penerima biasiswa memulakan perjalanan mereka, komuniti SDARA berdiri teguh di belakang mereka, satu bukti persaudaraan yang kukuh dalam kalangan warga SDAR serta misi abadi untuk berbakti kepada masyarakat melalui ilmu. Program Biasiswa SDARA bukan sekadar sumbangan kewangan; ia adalah satu janji bahawa tiada warga SDAR yang layak akan ketinggalan, dan semangat “Berilmu Untuk Berjasa” akan terus bersinar untuk generasi akan datang. –UTUSAN










