PETALING JAYA: “Saya sudah pulang,” demikian respons ringkas Khairy Jamaluddin menerusi platform Instagram merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menerima semula permohonannya untuk kembali.
Keputusan dibuat dalam mesyuarat yang berlangsung malam tadi di Melaka membuka laluan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO untuk kerjaya politiknya.
Selain Khairy, nama lain yang turut diterima ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar yang merupakan antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli pelbagai peringkat yang diterima semula.
Dalam satu lagi hantaran, Khairy menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti.
“Alhamdulillah, terima kasih Presiden dan Majlis Tertinggi,” katanya merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, Khairy mengemukakan permohonan rasmi agar pemecatan keahliannya dibatalkan termasuk memohon nombor keahlian asalnya dikekalkan.
Surat tersebut diserahkan kepada Ahmad Zahid dalam satu pertemuan bulan lalu, atas semangat Rumah Bangsa.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau bersyukur diberi peluang untuk kembali berkhidmat dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN










