Santuari gajah RM52 juta dibina di JRTB, siap 2030 - Utusan Malaysia

Santuari gajah RM52 juta dibina di JRTB, siap 2030

TEH KOK LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembinaan Pusat Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), Gerik dijangka siap pada tahun 2030 dengan kos keseluruhan berjumlah RM52.13 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, kerja-kerja pembinaan fasa pertama itu memberi tumpuan kepada pembinaan asas melibatkan kompleks pejabat, kurungan gajah dan berek kakitangan.

Menurut beliau, kerja-kerja awalan pembinaan yang membabitkan survei, pemetaan utiliti dan siasatan tanah telah dimulakan tahun ini dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui lantikan perunding dengan kos sebanyak RM500,000.

“Kerajaan negeri melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), telah mewartakan tanah seluas 79.74 hektar di Mukim Temenggor yang berada dalam Daerah Hulu Perak bagi pembangunan projek PES.

“Kawasan ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik, berhampiran dengan habitat semula jadi gajah liar, sekaligus sesuai dijadikan pusat konservasi dan pemuliharaan spesies tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, pembinaan PES merupakan usaha kerajaan negeri dalam menjaga hidupan liar yang terancam di negeri ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030.

Katanya, pewartaan tanah turut melambangkan komitmen kerajaan negeri terhadap usaha
pemeliharaan hidupan liar serta pembangunan eko pelancongan berasaskan konservasi yang mampan.

“Bagi fasa kedua pula, projek PES akan memberi tumpuan kepada pembangunan fasiliti eko-pelancongan bagi memperkukuh daya tarikan serta fungsi santuari tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan komited memastikan projek itu dilaksanakan secara berfasa, terancang dan sistematik dengan mengambil kira keperluan teknikal serta pematuhan spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan projek itu turut memberi penekanan kepada aspek keberkesanan kos serta tempoh pelaksanaan projek.

“Perhatian khusus turut diberikan terhadap impak projek ini kepada pemuliharaan habitat hidupan liar, khususnya dalam memastikan kelestarian ekosistem gajah dan keseimbangan alam sekitar.

“Kerajaan juga akan memastikan bahawa pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui inisiatif pembangunan komuniti, peningkatan sosioekonomi dan penglibatan pihak berkepentingan secara inklusif dan berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN