Pelakon berpengalaman tidak mengejar air mata, mereka fokus kepada emosi - Marisa Yasmin - Utusan Malaysia

Pelakon berpengalaman tidak mengejar air mata, mereka fokus kepada emosi – Marisa Yasmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Marisa Yasmin mendedahkan bahawa golongan pelakon berpengalaman sama sekali tidak pernah mengejar titisan air mata di set penggambaran, namun meletakkan fokus utama terhadap emosi dan objektif watak yang dijayakan.

Menurut Marisa atau Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 49, tanggapan bahawa keberkesanan sesebuah lakonan hanya bersandarkan kepada kebolehan menangis adalah kurang tepat.

“Tapi, selalunya pelakon yang berpengalaman selalunya tidak mengejar air mata. Mereka fokus kepada kebenaran emosi serta objektif utama watak tersebut. Bila emosi itu benar, air mata akan datang sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Mengulas lanjut mengenai teknik yang sering digunakan oleh anak seni, Marisa berkata, ada beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk menjayakan babak yang memerlukan tangisan.

“Ada beberapa cara pelakon menghasilkan air mata dalam babak. Antara cara yang paling berkesan termasuklah mendalami watak sedalam-dalamnya sehingga emosi itu muncul dan menggunakan teknik mengimbas kembali memori silam daripada pengalaman.

“Air mata dalam lakonan bukan semestinya datang daripada kesedihan sahaja. Ia juga boleh lahir daripada rasa kemarahan, kekecewaan, ketakutan atau perasaan kehilangan,” ujarnya lagi.

Perkongsian tersebut dibuat oleh Marisa bagi menjawab tanda tanya seorang individu tentang kaedah sebenar yang digunakan oleh pelakon untuk menangis dalam tempoh yang singkat.

Untuk rekod, Marisa merupakan pelakon versatil yang mula aktif sejak era 90-an dan cukup dikenali menerusi watak-watak berat dalam drama rantaian popular seperti Memori Cinta Suraya, Seadanya Aku, dan Lafazkan Kalimah Cintamu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN