KIRA-KIRA 200 orang guru, murid, tetamu dan ahli Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) memeriahkan Karnival Kesenian dan Kebudayaan sempena majlis sambutan hari raya di Sekolah Kebangsaan (SK) Mela, Lipis, Pahang baru-baru ini.
Kemeriahan majlis hari raya pada penghujung bulan Syawal ini diisi dengan pelbagai juadah kuih-muih, lemang dan rendang, sate, nasi beriani ayam dan pada masa yang sama wajah murid ceria apabila menerima duit raya daripada guru dan tetamu.
Lebih menarik pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan memeriahkan jamuan raya, iaitu persembahan tarian Melayu, nyanyian, pertandingan mewarna dan hiasan bunga serta mengenakan busana tradisional Kampung Mela.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Mela, Lipis, Sardiyawati Mohd Sadikin berkata, pihak sekolah merancang sambutan dua dalam satu itu kerana lebih signifikan untuk mengetengahkan aspek kesenian dan kebudayaan kampung tersebut yang diwarisi lebih seabad lalu.
“Tarian lama, makanan tempatan dan tradisi bergotong-royong turut diketengahkan dengan melibatkan guru, murid dan ahli PIBG secara realitinya telah menghidupkan suasana persiapan dan semasa hari raya.
“Kita segarkan warisan sambutan hari raya penduduk kampung ini sejak era sebelum merdeka lagi dengan memasukkan elemen kesenian sebagai hiburan majlis ini,” katanya di SK Mela, Lipis baru-baru ini.
Menurut Sardiyawati, sememagnya hasrat guru di situ bukan sahaja merancang serta berusaha supaya kemenjadian murid cemerlang dalam pelajaran juga menitip kecintaan mereka (murid) supaya cintakan kesenian serta mengetahui cara hidup masyarakat Melayu di kampung tradisional itu sebelum ini.
Berkongsi pandangan yang sama, Penolong Kanan SK Mela, Siti Haslina Che Hasan berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam kalendar tahunan sekolah bersempena dengan sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
“Kemeriahan ini jelas apabila guru sentiasa mesra bersama murid termasuk tetamu sambil menikmati pelbagai juadah kuih muih dan makanan tempatan sekali gus membina personaliti mereka, iaitu menghormati serta menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Katanya, sumbangan duit raya merupakan tradisi turun-temurun kalangan penduduk kampung tersebut turut menceriakan murid sekolah itu khususnya dalam kalangan mereka yang kurang mampu bersyukur dengan rahmat sambutan hari raya.
Dalam pada itu, Guru Penyelaras Program, Abdul Khalid Yasab berkata, suasana lebih meriah apabila guru dan murid mengenakan busana baju Melayu, bersamping dan baju kurung tradisional dalam kalangan perempuan.
“Kita mengetengahkan persembahan tarian, nyanyian dan pertandingan hiasan bunga turut menarik minat penyertaan murid untuk menambah kemahiran serta pada masa yang sama menghargai nilai estetika dan seni kreatif,” katanya.
Ujarnya, sambutan karnival dan jamuan hari raya turut dihadiri oleh ahli PIBG menzahirkan sokongan ibu bapa serta galakan kepada anak masing-masing terhadap aktiviti kokurikulum dan koakademik di sekolah. –UTUSAN










