Ketika komentar ini ditulis, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sudah berakhir.
Menyingkap kronologi sejarah, program tersebut mula diasaskan pada tahun 1981 oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebelum dijenamakan semula sebagai PBAKL yang dikenali kini.
Nadi utama program tersebut berpaksikan objektif murni untuk menyuburkan amalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dan sekali gus membantu memacu pertumbuhan industri penerbitan buku karya tempatan ke pentas dunia.
Setelah negara mengharungi pasang surut politik tanah air dan mendepani fasa kritikal ancaman pandemik Covid-19, inisiatif yang diwujudkan semula hasil cetusan idea oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abwar Ibrahim semasa merasmikan PBAKL 2024.
Seiring dengan arus pemodenan, baucar buku diberikan nafas baru dalam ekosistem digital melalui integrasi di portal DELIMa Kementerian Pendidikan dan MySiswaPlace Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Setiap pelajar yang layak akan menerima suntikan kredit bernilai RM 100 dan boleh ditebus guna sepenuhnya di seluruh reruai PBAKL.
Tiada lagi kupon kertas yang mungkin hilang, basah atau renyuk! Di sebalik sinar pembaharuan ini, timbul kekangan apabila inisiatif tersebut hanya eksklusif kepada pelajar sekolah menengah bawah seliaan Kementerian Pendidikan dan semua mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPTA dan IPTS).
Persoalan pertama yang timbul adalah mengenai keabsahan kriteria agihan dengan realiti demografi pengunjung PBAKL.
Kedua, kenapakah wujud jurang langit dan bumi untuk mengklasifikasikan pelajar sekolah menengah yang sama taraf kewarganegaraan dalam menerima baucar buku sekiranya tidak berada di bawah naungan institusi Kementerian Pendidikan ?
Senario tersebut mencetuskan tanda tanya memandangkan kerajaan secara amnya dilihat bersifat lebih inklusif tanpa diskriminasi ketat ketika melaksanakan inisiatif nasional lain seperti
Sumbangan Asas Rahmah (SARA – one off), BUDI Madani RON 95 dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Perkara terakhir , sekiranya kekangan utama pelaksanaan itu melibatkan aspek teknikal seperti keterbatasan capaian aplikasi DELIMa yang belum diperluaskan ke seluruh rangkaian sekolah kerajaan negeri, sekolah bukan Kementerian Pendidikan dan swasta ; mengapakah peruntukkan baucar ini tidak dikreditkan secara terus ke dalam sistem MyKad ibu bapa dan penjaga pelajar sepertimana diamalkan dalam agihan SARA? .
Kesimpulannya, usaha mulia menanamkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia perlu berpaksikan prinsip ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.
Muhammad Noor Hafiz Kasim ialah Jawatankuasa PIBG Prihatin










