SERAMAI 45 orang murid Tahun Lima dan Tahun Enam menyertai Kem Program Intelek Asuhan Rohani (Pintar) 2.0 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jerantut di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Program itu turut disertai oleh Ketua Daerah AADK Jerantut, Mohd Fazil Johari dan Ketua Unit Pencegahan AADK Jerantut, Zaizuzaidi Zainal Abidin yang menyampaikan ceramah intraktif serta penutupan program.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Kuala Tahan, Azman Abdullah Hashim berkata, program itu signifikan untuk meningkatkan pengetahuan kepada murid mengenai bahaya serta kesan penyalahgunaan dadah.
“Menerusi aktiviti percambahan fikiran, didikan adab, amalan solat dan ceramah interaktif yang disampaikan oleh kakitangan AADK dapat membina kemahiran hidup dan berdaya tahan supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang tertentu.
“Kalangan guru berharap supaya murid yang memperoleh pengetahuan dan kemahiran menerusi program selama dua hari ini dapat membimbing mereka serta mencegah penyalahgunaan dadah serta kemenjadian sebagai insan yang mulia dan berintelek,” katanya di SK Kuala Tahan, Jerantut.
Menurut Azman, aktiviti Kem Pintar 2.0 melibatkan ceramah interaktif, asuhan adab dan pembinaan insan, latihan dalam kumpulan, ibadat solat berjemaah serta eksplorasi alam di hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Hadi Aznan berkata, program itu memberikan impak yang positif kepada murid Tahun Lima dan Enam yang akan meningkat usia remaja kerap terdedah kepada persekitaran serta pergaulan yang kurang sihat.
“Titipan pengetahuan dan kemahiran menerusi kem ini dapat membentuk sahsiah diri, nilai murni, jati diri serta kesedaran mengenai kesan serta bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya.
Dalam pada itu. murid Tahun Enam, Nur Zafirah Mohd Rozaidi berkata, penyertaan program ini dapat memperoleh pengetahuan mendalam mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
“Kami berasa puas kerana dapat mengetahui dengan lebih jelas mengenai isu berkaitan dadah yang telah disampaikan oleh pegawai serta kakitangan AADK yang berpengalaman luas,” ujarnya.-UTUSAN









