UMS laksana temu duga pertama Program Seni bina Zon Sabah Bagi Kemasukan 2026/2027

UMS laksana temu duga pertama Program Seni bina Zon Sabah Bagi Kemasukan 2026/2027

Taklimat awal diberikan kepada calon sebelum sesi temu duga yang diadakan di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Program Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) baru-baru ini melaksanakan sesi temu duga pertama peringkat Zon Sabah bagi calon Program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian untuk sesi kemasukan 2026/2027.

Sesi temu duga yang melibatkan calon-calon berkelayakan selepas melepasi saringan awal itu berlangsung di Dewan Auditorium, Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Penyelaras Program Alam Bina UMS, Prof. Ar. Nurakmal Goh berkata, sesi temu duga tersebut merupakan platform penting untuk menilai potensi calon secara holistik, khususnya mereka yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina.

“Sesi temu duga ini memberi ruang kepada calon untuk menonjolkan kreativiti, idea, minat serta aspirasi mereka dalam bidang reka bentuk dan alam bina.

“Selain itu, proses ini juga membolehkan pihak program menilai kesesuaian calon secara lebih menyeluruh, bukan sahaja dari aspek pemahaman asas, tetapi turut merangkumi kebolehan komunikasi, pemikiran kreatif dan komitmen mereka terhadap bidang seni bina,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurakmal berkata, pihaknya menghargai komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua calon yang hadir sepanjang sesi temu duga berkenaan.

“Diharapkan sesi temu duga ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan akademik yang cemerlang bagi calon yang terpilih.

“UMS komited untuk melahirkan bakal graduan seni bina yang kreatif, berdaya saing dan berupaya menyumbang kepada pembangunan persekitaran binaan yang mampan serta berkualiti pada masa hadapan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, siri temu duga bagi calon-calon berkelayakan di Zon Semenanjung dijadualkan berlangsung 16 Jun ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN