KAHERAH: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah disahkan terlepas baki saingan musim ini selepas mengalami kecederaan otot paha ketika membantu pasukannya menewaskan Crystal Palace FC 3-1, kelmarin dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Perkara itu dimaklumkan pengarah pasukan bola sepak Mesir, Ibrahim Hassan, sekali gus mengesahkan kebimbangan mengenai tahap kecederaan bintang utama The Reds tersebut.
Pemain sayap berusia 33 tahun itu, yang sebelum ini mengumumkan bakal meninggalkan Liverpool pada penghujung musim, dilihat sempat bertepuk tangan kepada penyokong ketika berjalan keluar pada minit ke-60 akibat kecederaan dialaminya.
Walaupun pihak Liverpool masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status kecederaan tersebut, Hassan lebih awal tampil menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi Salah.
“Dia mengalami koyakan pada hamstring dan memerlukan tempoh rawatan kira-kira empat minggu,” kata Hassan.
Selepas hampir sedekad mencipta pelbagai kejayaan dan menjulang trofi bersama Liverpool, perjalanan gemilang Salah kini semakin menghampiri noktah, sekali gus menutup satu era penuh kenangan di Anfield.
Perpisahan pemain kelahiran Mesir itu dijangka berlangsung penuh emosi, dengan ucapan terakhir kepada penyokong setia kelab berkemungkinan diberikan selepas aksi penutup musim menentang Brentford.
Dalam baki jadual liga, Liverpool masih mempunyai beberapa perlawanan penting termasuk berdepan Chelsea, Manchester United dan Aston Villa namun kelibat Salah tidak lagi akan menghiasi kesebelasan utama.
Sepanjang musim ini, pemain yang muncul antara penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu terus membuktikan ketajamannya apabila merekodkan 12 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Hassan turut memberi bayangan bahawa Salah dijangka pulih sepenuhnya menjelang saingan Piala Dunia 2026, apabila Mesir dijadual berdepan Belgium, New Zealand dan Iran dalam Kumpulan G.
Salah sendiri dilaporkan bertekad untuk kembali cergas tepat pada waktunya, terutama selepas pengalaman pahit kecederaan bahu yang dialami menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 2018.
Ketika itu, walaupun sempat pulih untuk beraksi, impak kecederaan tersebut jelas menjejaskan prestasinya apabila Mesir tersingkir seawal peringkat kumpulan di pentas dunia. – AGENSI/UTUSAN










