KUALA TERENGGANU: Polis mendapat lanjutan tempoh tahanan reman enam hari lagi terhadap tiga ahli keluarga angkat yang disyaki terlibat dalam kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan di Kampung Banggol Katong, dekat sini pada 13 April lalu.
Sambungan tempoh tahanan reman itu sehingga 25 April ini dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan, kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan oleh keluarga angkatnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas badan kanak-kanak tersebut menemukan kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.
“Juga terdapat tanda bengkak dan gelembung air yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jangkitan kuman ke atas mangsa sekali gus menimbulkan syak wujud unsur penderaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN









