Rasuah projek penyelidikan IPTS: 2 pensyarah antara ditahan SPRM

Rasuah projek penyelidikan IPTS bernilai RM5 juta: 2 pensyarah antara ditahan SPRM

SPRM turut membekukan sebanyak 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta selain menyita tujuh buah kenderaan bagi membantu siasatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing dua orang pensyarah, seorang pegawai syarikat berkaitan minyak serta seorang pengarah syarikat kejuruteraan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta.

Kes meminta dan menerima rasuah itu adalah daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek penyelidikan serta penyelewengan dana penyelidikan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air.

Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan antara pukul 2 hingga 5 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

Kata sumber, selain tangkapan tersebut, SPRM turut membekukan sebanyak 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta selain menyita tujuh buah kenderaan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh antara tahun 2019 hingga 2025 di mana pegawai dan pengarah syarikat dijadikan proksi kepada kedua-dua pensyarah IPTS tersebut menerima rasuah.

“Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut dan kedua-dua pensyarah itu telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kesemua mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN