BUTTERWORTH : Punca sebenar kebakaran yang mengorbankan dua nyawa termasuk seorang bekas peguam terkenal di Lebuh King, George Town, Isnin lalu dijangka diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, ketika ini, sampel yang diambil daripada kebakaran itu telah dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran Elektrik (FIvEL) di Shah Alam, Selangor untuk siasatan iaitu sehari selepas kejadian.
“Kita kena hantar (sampel) untuk kajian makmal di sana terlebih dahulu untuk kita pastikan punca sebenar kebakaran sama ada berpunca daripada pendawaian atau peralatan elektrik.
“Jadi, kita nak cek betul-betul sebelum kita keluarkan sebarang kenyataan berkaitan kerana kes ini melibatkan banyak pihak,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, hari ini.
Dalam kebakaran itu, mangsa, Datuk San Markan Ganapathi, 88, iaitu seorang bekas peguam ditemukan dalam keadaan terduduk di atas kerusi berhampiran meja pejabat di tepi tingkap dan dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal.
Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu B. Chandra, 60, pula dijumpai di tingkat atas bangunan berhampiran dinding dalam keadaan tertimbus di bawah timbunan fail selepas berlaku runtuhan struktur bangunan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Izram berkata, pihaknya telah mengarahkan Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah untuk berunding dengan persatuan pemilik bangunan-bangunan warisan di negeri ini bagi menilai semula struktur bangunan bersejarah tersebut.
Katanya, hal ini demikian kerana, kebanyakan bangunan warisan terutamanya bangunan lama lebih terdedah kepada kebakaran seperti tragedi yang berlaku di Lebuh King itu.
“Kebanyakan bangunan ini dibina dengan lantai kayu dan dalam sesetengah kes, pendawaian elektrik dipasang terus di bawah lantai. Jadi, walaupun kita mungkin tidak akan mengubah bahagian luar (bangunan) kerana statusnya (bangunan warisan), namun, bahagian dalaman mesti ditambah baik untuk keselamatan semua,” katanya.-UTUSAN










