PPUM didakwa manipulasi laporan radiasi, langgar Akta 304

PPUM didakwa manipulasi laporan radiasi, langgar Akta 304

Barisan wakil Secretariat Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (#ReformIPT) bersama Presiden, Brendon Gan (empat dari kiri) serta mangsa kluster kanser Nur Fauziah Abdul Razak(lima dari kiri) dalam sidang akhbar berkait isu tular pelanggaran SOP keselamatan radiasi dan wujud kluster kanser dalam kalangan kakitangan PPUM di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) didakwa melakukan pelanggaran serius terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta sengaja memanipulasi laporan teknikal bagi menutup kelemahan pengurusan keselamatan radiasi di institusi berkenaan.

Dakwaan itu dibangkitkan oleh Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) bersama salah seorang mangsa kluster kanser yang mengemukakan bukti berhubung kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menjejaskan keselamatan kakitangan di Jabatan Radiologi hospital itu.

Bekas Juru X-ray di Unit Perubatan Nuklear PPUM, Nur Fauziah Abdul Razak, 35, berkata, terdapat percanggahan maklumat antara hasil siasatan lapangan dengan maklum balas bertulis daripada Bahagian Kawalan Radiasi dan Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya mempunyai bukti melalui mesyuarat dalam talian bersama empat ahli BKRP yang mengakui wujudnya ralat SOP di unit berkenaan.

“Namun laporan akhir yang dikeluarkan oleh Pengarah BKRP mendakwa segalanya berada dalam keadaan baik dan mengikut aturan.

“Ini adalah satu manipulasi data yang jelas,” katanya dalam sidang akhbar di sini,hari ini.

Fauziah berkata, bukti pelanggaran skop kerja di mana kakitangan radiografi dipaksa menjalankan tugas radiofarmasi sedangkan fasiliti dan latihan untuk tugasan itu tidak pernah disediakan secara sah mengikut garis panduan unit.

“Apabila saya merujuk kepada Garis Panduan Dasar Perubatan Nuklear 2018, tugas radiofarmasi bukan dalam bidang kuasa radiografer.

“Namun, Pegawai Perlindungan Radiasi (RPO) memaksa kami melakukannya dengan atas arahan pentadbiran PPUM. Pelanggaran polisi ini secara langsung mendedahkan staf kepada radiasi tanpa perlindungan sewajarnya,” katanya.

Isu itu mula dikesan selepas pemasangan mesin Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Aras 5, Menara Selatan, yang menyaksikan peningkatan mendadak kes penyakit berkaitan radiasi dalam kalangan kakitangan perubatan unit berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN