Pinda Akta 133 untuk atasi kejadian cerun runtuh, banjir lumpur

Pinda Akta 133 untuk atasi kejadian cerun runtuh, banjir lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejadian cerun runtuh yang membawa kepada banjir lumpur akan terus berlaku dan mengancam keselamatan orang ramai selagi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atau Akta 133 tidak dipinda.

Justeru, kerajaan perlu mene­liti semula akta tersebut supaya pihak yang terlibat dikenakan hukuman lebih tegas terhadap pe­langgaran garis panduan pemba­ngunan cerun, sekali gus mengelak kejadian itu berulang.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Aizat Mohd. Taib berkata, semakan itu penting memandangkan pembangunan di kawasan cerun kini semakin kompleks dan melibatkan ancaman besar kepada ke­selamatan awam.

“Walaupun Akta 133 menyediakan asas perundangan yang kukuh, aspek hukuman di bawah akta tersebut perlu diperkasa agar benar-benar memberi kesan pencegahan kepada pihak yang ingkar,” katanya.

Penalti yang terlalu rendah berisiko menyebabkan pemaju melihat pematuhan terhadap garis panduan teknikal hanya sebagai kos tambahan dan bukannya tanggungjawab wajib.

“Pembangunan di kawasan cerun yang tidak mematuhi garis panduan sememangnya antara faktor utama kejadian banjir lumpur dan ketidakstabilan tanah,” katanya.

AIZAT MOHD. TAIB

Jelasnya, garis panduan sedia ada telah mengambil kira faktor penting seperti kestabilan cerun, pengurusan air larian permukaan dan kawalan hakisan, namun masalah timbul apabila aspek itu diabaikan.

“Apabila pemaju atau pihak berkaitan mengabaikan aspek ini seperti pemotongan cerun yang terlalu curam, kekurangan sistem saliran atau perlindungan permukaan tanah yang tidak mencukupi, struktur semula jadi cerun akan terganggu dan menjadi tidak stabil,” katanya.

Semakan Akta 133 juga perlu mengambil kira keperluan mandatori termasuk penyiasatan tanah yang lebih komprehensif, penglibatan jurutera geoteknik bertauliah dan sistem semakan bebas bagi projek berisiko tinggi.

“Malaysia secara asasnya sudah mempunyai rangka kerja pe­runda­ngan dan garis panduan teknikal yang mencukupi untuk mengawal pembangunan di kawasan berisiko termasuk cerun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cabaran utama ketika ini bukan kekurangan peraturan sebaliknya pelaksanaan dan penguatkuasaan di lapangan yang masih lemah serta tidak konsisten.

“Setiap projek pembangunan di kawasan cerun juga perlu dimulakan dengan penyiasatan tanah yang menyeluruh dan rekabentuk yang diluluskan lebih awal bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.

Pada 18 April lalu, tembok penahan sedia ada berhampiran tapak projek Menyiapkan Baki Kerja Pembangunan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur – Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, TTDI runtuh susulan hujan lebat.

Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku susulan hujan lebat antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek.

Semalam, Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) mendakwa pembangunan di kawasan cerun menjadi punca banjir lumpur yang berlaku di Habu Heights di sini kelmarin susulan hujan lebat.

Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kelulusan pembangunan, khususnya pembukaan tanah pertanian di kawasan cerun yang sangat curam di sini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor Kampus Pasir Gudang, Ts. Gs. Dr. Mohamed Khatif Tawaf Mohamed Yusof pula berkata, kadar penalti dan tahap penguatkuasaan ke atas pemaju yang melanggar peraturan ketika ini dilihat kurang relevan dengan situasi semasa.

“Denda yang dikenakan sering kali tidak setimpal dengan keuntungan besar yang diraih pemaju sehingga kesan pencegahannya menjadi lemah dan ada sebahagian pemaju sanggup mengambil risiko melanggar garis panduan bagi mempercepatkan projek atau mengurangkan kos,” katanya.

Tambahnya, semakan semula akta ini perlu merangkumi peningkatan kadar denda dan hukuman termasuk cadangan mengenakan penalti kewangan lebih tinggi, pembatalan lesen serta tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab.

Mekanisme pemantauan dan audit juga perlu diperkukuh bagi memastikan pematuhan bukan sahaja di atas kertas, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh di tapak.

“Elemen akauntabiliti perlu diperluaskan supaya bukan sahaja pemaju, malah perunding dan kontraktor turut dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku pelanggaran,” katanya.

Di bawah Seksyen 70A Akta 133, mana-mana pihak yang melanggar peruntukan berkaitan kerja tanah atau gagal mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan sehingga RM500 sehari bagi kesalahan berterusan.

Akta sama turut memperuntukkan hukuman lebih berat di bawah Seksyen 71 apabila kegagalan bangunan atau kerja tanah berpunca daripada salah bina, kekurangan penyeliaan, salah reka bentuk, salah kiraan atau salah guna, iaitu denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan di bawah Akta 133 yang tidak dinyatakan penalti khusus pula, Seksyen 127 menetapkan denda maksimum RM10,000 serta denda tambahan sehingga RM500 sehari selepas sabitan jika kesalahan itu berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN