PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan dakwaan penglibatannya dalam sebarang urusan pembekalan diesel dari Malaysia ke Filipina seperti dilaporkan media antarabangsa sebelum ini.
Petronas menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan perkara berkenaan.
“Petronas merujuk kepada laporan media terkini berhubung bekalan diesel dari Malaysia ke Filipina.
“Syarikat ini ingin menjelaskan bahawa Petronas tidak pernah memeterai sebarang perjanjian sedemikian dengan mana-mana pihak di Filipina,” katanya.
Katanya, keutamaan utama syarikat adalah memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal stabil dan mencukupi.
Jelasnya, perkara itu dilaksanakan menerusi kerjasama rapat bersama kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan bagi menjamin keperluan tenaga negara sentiasa terpelihara.
Terdahulu, portal berita rasmi di bawah TV5 Network Filipina, News5 Digital (News5.com.ph) atau dikenali sebagai News5 melaporkan bahawa Filipina telah menerima satu penghantaran baharu diesel dari Malaysia bagi membantu menstabilkan bekalan bahan api tempatan susulan ketidaktentuan global yang berterusan.
Menurut laporan portal berita berkenaan, penghantaran tersebut berjumlah 329,000 tong iaitu bersamaan lebih 52 juta liter diesel.
Bekalan tambahan itu dijangka menyokong permintaan domestik Filipina serta mengurangkan tekanan terhadap ketersediaan bahan api susulan ketegangan di Asia Barat serta sekatan laluan di Selat Hormuz yang terus mengganggu pasaran minyak global. – UTUSAN










