KANGAR: Kenaikan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar mampu meringankan beban pesawah sekiranya dibayar mengikut musim bukannya pada musim akan datang.
Bagaimanapun, insentif tersebut tetap tidak berupaya membantu mengurangkan kos operasi yang akan terus meningkat bergantung situasi harga diesel.
Seorang pesawah, Zamzuri Ishak, 42, berkata, selepas bancian, insentif itu perlu dibayar pada musim ini dan tidak boleh tangguh kepada musim depan yang akan menyukarkan lagi pesawah sebagaimana kelaziman.
“Insentif untuk pesawah ini tidak dinafikan sedikit sebanyak boleh membantu namun pesawah tetap perlu menanggung kos operasi yang tinggi ekoran kenaikan harga diesel tersebut.
“Kos jentera berat bagi proses membajak ketika ini meningkat kepada RM1,575 sehektar berbanding sebelum ini, RM938. Kos tetap naik, jika harga diesel terus melonjak.
“Kos mesin padi pula dijangka naik kepada RM868 sehektar berbanding RM625 sebelum ini. Kenaikan kos operasi tersebut boleh mencecah 35 sehingga 50 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan langkah tambahan bagi meringan beban rakyat termasuk menaikkan bantuan kepada pengguna diesel disamping menambah insentif membajak sawah.
Ia membabitkan kos keseluruhan RM75 juta dengan IPKP diberikan tambahan dana sekitar RM40 juta bagi musim penanaman 2026 yang bakal memanfaatkan 200,000 pesawah yang sebahagiannya akan memulakan penanaman padi pada bulan ini.
Sementara itu, Zamzuri yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 15 hektar berkata, pesawah dijangka kembali mengusahakan tanaman musim ini selepas hujan sudah mula turun sejak kebelakangan ini.
Katanya, tanaman padi bagi musim ini bermula bagi fasa satu pada 15 April, diikuti fasa dua (29 April) dan fasa tiga pada 13 Mei.
“Insya-Allah tanaman akan diteruskan jika hujan lebat berterusan dalam tempoh terdekat ini, yang sekali gus mampu mengembalikan sumber air untuk pesawah mengusahakan tanaman,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Zaidi Nasir,38, berkata, kenaikan insentif pembajakan sekurang-kurangnya dapat membantu pesawah ketika kos operasi semakin meningkat.
“Ketika ini, kebanyakkan pesawah sudah mula sediakan tapak sebelum proses tabur benih. Diharap sumber air akan kembali mencukupi untuk tujuan tanaman,” katanya. – UTUSAN










