PASIR SALAK: Pesawah di sini menjangkakan peningkatan kos operasi apabila kadar upah penggunaan jentera sawah naik susulan peningkatan harga diesel kepada RM6.02 seliter.
Ketua Unit Peladang AI Kampung Permatang Pelandok, Labu Kubong, Chenderong Balai di sini, Ahmad Rozi Yahya berkata, kenaikan harga bahan api itu memberi kesan langsung kepada kos kerja sawah termasuk membajak dan penyediaan tanah.
Menurutnya, pesawah menjangkakan kadar upah jentera boleh meningkat sehingga sekali ganda berikutan kenaikan harga diesel tersebut.
“Kenaikan harga diesel diumumkan kerajaan menyebabkan kos kerja sawah meningkat kerana upah penggunaan jentera seperti membajak turut naik.
“Pemilik jentera juga berada dalam dilema untuk menaikkan kadar upah kerana bimbang membebankan pesawah, namun mereka tiada pilihan berikutan peningkatan kos bahan api.
“Pesawah memahami situasi itu, tetapi sawah tetap perlu diusahakan kerana ia merupakan sumber pendapatan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut pesawah, upah membajak tanah sawah terdiri daripada tiga peringkat iaitu peringkat 1 RM150 seekar, peringkat 2 RM130 seekar dan peringkat 3 RM100 seekar.
Ahmad Rozi berkata, pesawah kesal kenaikan mendadak harga diesel yang membebankan golongan pengguna bahan api tersebut.
Katanya, mereka juga mempersoalkan perbezaan harga diesel di negara ini yang dilihat lebih tinggi berbanding negara jiran.
“Kerajaan patut tampil dengan mekanisme bersesuaian bagi membantu pesawah menghadapi kenaikan kos ini, bukan sekadar mengumumkan kenaikan harga tanpa langkah proaktif,” katanya.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Harga petrol RON97 turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.
Menurut kenyataan itu, penetapan harga runcit petroleum dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) selaras dengan pergerakan harga minyak mentah dunia. – UTUSAN










