Perkeso gesa penyedia platform patuh Akta Pekerja Gig 2025

Perkeso gesa penyedia platform patuh Akta Pekerja Gig 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa penyedia platform segera menyelaraskan sistem dan mengemukakan daftar maklumat pekerja masing-masing bagi mematuhi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Perkeso berkata, gesaan itu dibuat susulan proses on-boarding yang ketika ini hanya melibatkan kira-kira dua peratus daripada anggaran 1.2 juta pekerja gig di negara ini walaupun infrastruktur sistem digitalnya telah siap sepenuhnya.

“Langkah berkenaan bukan sekadar keperluan pematuhan undang-undang, malah tindakan kritikal bagi memastikan perlindungan sosial yang konsisten dan berterusan kepada golongan pekerja gig.

“Ini kerana pekerja gig sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan semasa mencari rezeki, justeru sebarang kelewatan dalam integrasi sistem bakal memberi implikasi terhadap kelangsungan pendapatan sekiranya ditimpa bencana kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perkeso, pihaknya mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) berhubung tahap pematuhan akta berkenaan dan bersedia mengambil pendekatan lebih tegas melalui penguatkuasaan sekiranya penyedia platform masih gagal mematuhi keperluan ditetapkan.

“Penyedia platform wajar memastikan perlindungan keselamatan sosial diberikan kepada pekerja gig kerana ia merupakan hak asas yang menyokong kelestarian operasi industri berkenaan.

“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar tuntutan perundangan, sebaliknya satu amanah untuk menjaga kebajikan pekerja yang menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×