76 anggota dilantik terajui badan kawal sedia pekerja gig

76 anggota dilantik terajui badan kawal sedia pekerja gig

RAMANAN Ramakrishnan (dua kiri) ketika beramah mesra bersama penerima pada Majlis Penyerahan Watikah dan Sijil Pelantikan Anggota Tribunal Pekerja GIG (TPG) dan Anggota Majlis Perundingan GIG (MPGig) di Hotel Wyndham Grand Bangsar di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 76 anggota dilantik bagi menganggotai Tribunal Pekerja Gig (TPG) dan Majlis Perundingan Gig (MPGig) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025.

Pelantikan TPG melibatkan 22 Pengerusi Mahkamah Perusahaan secara interim dan 28 Pegawai Perhubungan Perusahaan, manakala MPGig, ia membabitkan 26 anggota merangkumi wakil kerajaan, pekerja gig serta entiti kontrak diketuai Datuk Dr. Gazali Abas selaku Pengerusi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penubuhan tribunal tersebut merupakan langkah penting dalam menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian antara pekerja gig dan entiti kontrak agar lebih adil, pantas dan kos efektif.

Katanya, tribunal berkenaan akan berperanan mendengar, menjadi perantara serta membuat keputusan terhadap pertikaian kontrak yang melibatkan pekerja gig.

“Kalau sebelum ini seorang pekerja gig, dia ada pertikaian, dia tiada saluran sebab mereka diletakkan di dalam sektor tidak formal.

“Tetapi hari ini kita ada TPG yang akan jadi pendamai, mediator, fasilitator untuk mereka berunding dan sekiranya tidak boleh, akan ada tindakan yang boleh diambil.

“Kalau kita lihat berkaitan dengan MPGIG, kalau seorang pekerja gig ada pertikaian berkaitan dengan kadar bayaran dia, di mana mereka akan pergi?. (Dulu) Tidak ada asas. Tidak ada garis tengah. Jadi sekarang kita sedang mewujudkan garis dasar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah dan Sijil Pelantikan Anggota TPG dan Anggota MPGig di sini hari ini.

Penubuhan dua badan itu dijangka akan memberikan impak kepada lebih 1.64 juta pekerja gig di seluruh negara sejajar memperkukuh perlindungan perundangan bagi golongan berkenaan selepas Akta Pekerja Gig 2025 mula berkuat kuasa pada 31 Mac lalu.

Ramanan berkata, Malaysia juga merupakan antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan undang-undang khas bagi melindungi pekerja gig secara menyeluruh.

“Ini merupakan satu hari yang amat bermakna sebab Malaysia merupakan negara Asia terawal yang memperkenalkan undang-undang khas melindungi pekerja-pekerja gig secara menyeluruh.

“Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan Madani dalam menjaga pekerja sambil memacu ekonomi digital, menjadikan Malaysia contoh ekonomi gig yang adil dan kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN