MTUC bawa Akta 872 ke ILO jika enggan ditangguh

MTUC bawa Akta 872 ke ILO jika enggan ditangguh

SIDANG akhbar beberapa NGO mengenai Akta Pekerja Gig 2025 di Wisma Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Subang Jaya, hari ini. - UTUSAN/QHAIRUL NIZAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan membawa pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 ke Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sekiranya kerajaan meneruskan penguatkuasaan tanpa penangguhan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, langkah itu diambil susulan dakwaan akta berkenaan mengandungi elemen yang berpotensi melanggar piawaian buruh antarabangsa.

“Antara kebimbangan utama adalah berkaitan hak kebebasan berpersatuan, rundingan kolektif serta prinsip keadilan pekerjaan yang menjadi asas dalam konvensyen ILO.

“MTUC akan membawa isu ini ke ILO kerana terdapat dakwaan pelanggaran hak pekerja yang bertentangan dengan piawaian buruh antarabangsa,” katanya hari ini.

Beliau turut mempersoalkan ketelusan proses libat urus yang didakwa tidak melibatkan semua pihak berkepentingan khususnya wakil pekerja.

“Tiada perbincangan melibatkan semua pihak dalam sesi libat urus. Kalau ada perbincangan kita boleh teliti, tetapi ini tidak berlaku dengan pihak kami,” katanya.

Tambahnya, peruntukan berkaitan hak berpersatuan dalam akta tersebut juga menimbulkan persoalan apabila tidak memperincikan hak kesatuan yang disifatkan lebih signifikan kepada pekerja.

“Kenapa perlu masukkan hak berpersatuan sedangkan Perlembagaan sudah membenarkannya, tetapi hak kesatuan tidak diberi penekanan walhal ia memberi manfaat besar kepada pekerja gig,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Presiden MTUC, Dauzkaply Nor Ghazali berkata, Majlis Am pertubuhan itu telah beberapa kali bermesyuarat sebelum sebulat suara memutuskan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan akta berkenaan.

Katanya, ketiadaan rundingan tiga pihak melibatkan kerajaan, majikan dan wakil pekerja merupakan kelemahan ketara dalam proses penggubalan akta tersebut.

“Dalam isu melibatkan pekerja, rundingan tiga pihak adalah perkara asas, namun ia tidak dilaksanakan dengan sewajarnya dalam kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rami berkata, isu tafsiran pekerja gig turut menjadi punca utama bantahan terhadap akta tersebut.

“Pengiktirafan pemastautin tetap (PR) berpotensi mewujudkan lambakan tenaga kerja, sekali gus menekan pendapatan selain bercanggah dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan boleh menimbulkan implikasi keselamatan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN