Insiden di Kelantan baru-baru ini seharusnya menjadi loceng amaran kepada semua pihak yang isu keselamatan di sekolah tidak boleh lagi dianggap terjamin sepenuhnya. Dalam dunia yang semakin kompleks, pelbagai risiko luar jangka boleh berlaku dan kegagalan mengambil langkah awal, membuka ruang kepada tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan.
Sekolah selama ini dilihat sebagai ruang paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu. Namun, realiti semasa menunjukkan yang ancaman boleh datang daripada pelbagai sudut meliputi kelemahan infrastruktur hinggalah kepada kecuaian manusia. Justeru, pendekatan keselamatan perlu berubah daripada sekadar reaktif kepada lebih proaktif dan menyeluruh.
Aspek keselamatan fizikal perlu diberi keutamaan. Bangunan usang, kemudahan tidak diselenggara serta kawasan berisiko seperti tangga dan makmal boleh menjadi punca kemalangan jika diabaikan. Pemeriksaan berkala wajib dijadikan amalan tetap, bukan hanya dilakukan selepas berlaku insiden. Dalam masa sama, kawalan akses ke kawasan sekolah perlu diperkukuh. Tanpa sistem pemantauan baik, risiko pencerobohan atau kehadiran individu tidak dikenali boleh berlaku. Penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta kawalan keselamatan lebih ketat bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Namun, teknologi dan kemudahan sahaja tidak mencukupi. Faktor manusia memainkan peranan paling penting dalam memastikan keselamatan. Guru, pelajar dan kakitangan sekolah perlu mempunyai kesedaran tinggi terhadap prosedur keselamatan. Latihan kecemasan perlu dilaksanakan secara konsisten agar semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Bagi memperkukuh keselamatan, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tegas amat diperlukan.
Selain itu, sistem pelaporan awal perlu diwujudkan supaya sebarang risiko dapat dikenal pasti awal. Pelajar dan guru harus diberi ruang dan keyakinan untuk melaporkan sebarang situasi mencurigakan. Latihan simulasi kecemasan juga perlu dijalankan berkala supaya tidak sekadar menjadi formaliti.
Keselamatan sekolah bukan isu remeh. Insiden yang berlaku harus menjadi peringatan yang setiap risiko, walaupun kecil, boleh membawa implikasi besar. Tindakan segera, menyeluruh dan berterusan perlu diambil agar sekolah kekal selamat untuk generasi masa depan.
-Pensyarah Kanan Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Dr. Zurina Hamid dan guruTingkatan 6, Maktab Sultan Abu Bakar, Mohan Sanyasi.










