KOTA BHARU: Penyalahgunaan dadah di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand masih lagi tinggi sekali gus memerlukan perhatian serta tindakan lebih berfokus dalam usaha mengurangkan kadar tersebut.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Roslin Jusoh berkata, kedudukan geografi yang bersempadan dengan negara jiran itu menjadi penyumbang kepada peningkatan kes, khususnya melibatkan kemasukan bekalan dadah dari luar.
Katanya, walapun jumlah penagih dadah 2025 menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 191,000 orang berbanding 192,000 pada tahun sebelumnya namun AADK tidak boleh selesa dengan situasi tersebut.
“Walaupun ada sedikit penurunan, kita tidak boleh berasa selesa kerana negeri-negeri sempadan masih mencatatkan kadar yang tinggi. Ini memerlukan tindakan berterusan dan lebih agresif.
“Kita akan mempertingkatkan program pencegahan, rawatan serta pemulihan khususnya di kawasan berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin memberitahu, pada masa sama trend semasa juga menunjukkan dadah sintetik jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) terus mendominasi dan menjadi ancaman utama kepada masyarakat.
Katanya, AADK akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan permintaan terhadap dadah melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran yang lebih menyeluruh.
“Peranan ibu bapa dan komuniti amat penting. Apabila kesedaran meningkat, masyarakat akan lebih peka dan mampu bertindak lebih awal dalam menangani masalah ini.
“Dalam usaha memperkukuh strategi, AADK akan mula merekodkan data penyalahgunaan dadah secara terperinci mengikut daerah bermula tahun ini. Data ini akan menjadi panduan penting untuk kita merangka program pencegahan yang lebih tepat serta menambah baik dasar sedia ada,” katanya.
260426-Klt-DadahSempadan-Done Online
-habis-









