KOTA BHARU: Ancaman dadah sintetik di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan apabila 70 peratus daripada keseluruhan penagih dan penyalah guna dadah dikesan terjerat dengan bahan berkenaan.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Roslin Jusoh berkata, peningkatan itu selari dengan perubahan taktik sindiket yang menggunakan cecair rokok elektronik atau vape sebagai medium baharu penyalahgunaan dadah.
“Trend ini amat membimbangkan kerana bahan terlarang dicampurkan ke dalam cecair vape, sekali gus menyukarkan pengesanan.
“Ia sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penyalahgunaan, khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sua Mesra AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini.
Rusli memberitahu, magic mushroom, ketamin dan fentanyl antara dadah sintetik yang dikenal pasti menjadi pilihan penagih.
Katanya, kesemua bahan terlarang itu masing-masing mempunyai kesan berbeza serta berisiko tinggi terhadap kesihatan dan keselamatan pengguna.
“AADK mengambil pendekatan proaktif termasuk memperkukuh strategi rawatan, pencegahan serta pemantauan trend semasa bagi mengekang penularan bahan berbahaya tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, satu kajian menyeluruh sedang dilaksanakan bagi menggubal dasar baharu berkaitan dadah di negara ini.
“Ketika ini kita sedang dalam peringkat kajian dengan kerjasama pihak universiti bagi merangka Dasar Dadah Negara yang lebih komprehensif dan relevan dengan situasi semasa.
“Hala tuju baharu itu dijangka dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun ini sebagai panduan perancangan lima tahun akan datang. Ia merangkumi pendekatan program, strategi kerajaan serta penyesuaian terhadap trend global dadah yang semakin kompleks,” katanya.-UTUSAN










