SSR beras 80 peratus: Realiti atau sekadar slogan?
Oleh Yulpisman Haji Asli
3 September 2026, 7:15 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Gesaan Pengerusi Suara Tani Malaysia supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyelesaikan dahulu masalah asas petani bagi meningkatkan pengeluaran padi, perlu diambil tindakan serius.
Kenyataan Mohd. Shazwan Suban itu dilihat manifestasi ‘kekecewaan’ pemain industri terhadap pihak kementerian yang masih gagal menyelesaikan pelbagai isu berkaitan industri padi dan beras negara yang dibangkitan sebelum ini.
Ia susulan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa Malaysia masih jauh untuk mencapai tahap selesa dalam keterjaminan makanan dengan Kadar Sara Diri (SR) beras sebanyak 80 peratus.
Menurut Mohamad, SSR beras negara ketika ini masih di bawah 60 peratus. Kata beliau, kadar itu menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara lebih agresif. Jadi, apa tindakan kementerian untuk merealisasikan perkara itu?
Malaysia dilaporkan mengimport sehingga kira-kira 1.3 juta tan beras setahun. Pada 2025, import beras negara dianggarkan bernilai lebih RM5 bilion. Jumlah itu akan terus meningkat setiap tahun berikutan penurunan SSR beras negara dan peningkatan keperluan makanan ruji itu.
Namun, jika diperhalusi kenyataan Pak Menteri tersebut, pihak kementerian sepertinya baharu tersedar daripada lamunan?. Sedangkan masalah industri padi dan beras negara telah banyak kali diutarakan oleh persatuan, pesawah atau petani. Malah, akhbar ini juga tidak putus-putus melaporkannya termasuk di muka hadapan.
Bagaimanapun, pengeluaran padi dan beras negara dilaporkan semakin menurun. Dan masalah itu disuarakan sekali lagi oleh Mohd. Shazwan Suban kepada Utusan Malaysia kelmarin.
Antara masalah yang kerap dilaporkan adalah benih padi kurang bermutu, baja lewat sampai, jika sampai tidak cukup, masalah jentera, pengairan dan banyak lagi. Ini belum lagi pelaksanaan rancangan penuaian lima kali dalam tempoh dua tahun yang dilaungkan kerajaan sebelum ini?
Setiap rungutan pesawah atau petani kerap dilaporkan oleh akhbar ini namun sepertinya tidak diambil serius oleh pihak kementerian dan agensi pelaksana di bawahnya. Sekiranya ada tindakan yang efektif, mana mungkin pengeluaran padi negara terus susut daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 52.9 peratus pada 2024?
Malaysia pernah merekodkan SSR beras sebanyak 90 peratus sekitar 1990 ketika industri pertanian negara masih belum mengalami ledakan teknologi.
Semakin negara dikatakan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai bidang, pengeluaran beras negara terus merekodkan penurunan.
Sepatutnya, dengan kemajuan teknologi, ditambah pelbagai perancangan dan inisiatif dilancarkan serta bantuan input pertanian, negara sudah lama mencapai sasaran kadar SSR beras. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dalam tempoh empat atau lima tahun kebelakang, pengeluaran beras negara dilaporkan terus merosot. Di mana silapnya?
Kementerian perlu bertindak segera sebelum negara berdepan krisis keterjaminan makanan yang lebih serius pada masa hadapan.
Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved