Kena berjimat, sekarang bukan masa sesuai pergi bercuti - Yusry - Utusan Malaysia

Kena berjimat, sekarang bukan masa sesuai pergi bercuti – Yusry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah, penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim, menyarankan  masyarakat agar lebih berwaspada dalam merancang perbelanjaan, terutamanya melibatkan aktiviti pelancongan buat masa ini.

Menurut Yusry, 53, situasi ketidakpastian dunia susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang mencetuskan lonjakan harga minyak mentah global bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

“Pada saya sekarang kalau ada duit simpanan, berjimatlah. Sekarang bukan masa untuk berbelanja. Macam saya baru balik dari bercuti, tapi kalau saya tahu akan berlaku perang (konflik), mungkin saya pun tak akan pergi.

“Sekarang ini mungkin bukan masa yang sesuai untuk pergi bercuti, buat pinjaman atau beli kereta dan sebagainya. Berjaga-jagalah bukan sahaja untuk anak seni, tapi untuk semua orang,” katanya ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment baru-baru ini.

Menurut anggota kumpulan KRU ini, minyak merupakan sumber utama ekonomi dunia. Sebarang gangguan terhadap sumber ini akan memberi kesan  kepada harga barangan keperluan lain termasuklah bahan makanan.

“Apa yang berlaku sekarang ini adalah luar daripada apa yang kita semua pernah rasa. Semasa zaman perang dahulu, kita dengar orang akan makan ubi kayu, tapi sekarang yang berlaku adalah masalah minyak.

“Minyak adalah sumber untuk segala bahan lain, malah baja dan bahan makanan pun melibatkan ia juga. Apabila harga minyak melambung, seluruh rantaian ekonomi akan terkesan,” jelasnya lagi.

Sebagai senior dalam industri kreatif, Yusry menyeru rakan-rakan artis dan seluruh rakyat Malaysia agar tidak terlalu boros dan mula membuat simpanan kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka.

Yusry turut menyokong langkah proaktif seperti polisi Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai inisiatif mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan bahan api yang semakin mahal.

“Kita mengeluh minyak mahal, tapi bayangkan suatu hari nanti tiada langsung bekalan minyak di stesen, apa yang kita nak buat? Itu masalah lebih besar. Sebab itu kita kena ambil langkah berjaga-jaga, catukan penggunaan minyak dan manfaatkan BDR.

“Saya harap orang ramai sedar betapa seriusnya perkara ini. Jika konflik ini berlarutan, kesannya kepada kita amat besar. Buat masa sekarang, langkah terbaik adalah berjaga-jaga dan elakkan perbelanjaan yang tidak perlu,” ulasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN