Ayam RM1 seekor ringan beban keluarga - Utusan Malaysia

Ayam RM1 seekor ringan beban keluarga

AHLI Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hasnul Hamidi Harun (tiga dari kiri) diiringi Mohammad Rasul Razuan (empat dari kiri) menunjukkan ayam yang dijual pada harga RM1 seekor di Pasaraya BS Freshmart cawangan Batu 6 di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Promosi harga ayam RM1 seekor sempena pembukaan Pasaraya BS Freshmart cawangan Batu 6 di sini mencetuskan suasana luar biasa apabila pelanggan sanggup datang seawal pukul 6 pagi dan beratur panjang demi mendapatkan bekalan murah tersebut.

Seorang pelanggan, Zuriswani Salwa Yusuki, 29, berkata, dia datang seawal pukul 6 pagi bersama suaminya dan beratur bagi membeli ayam serta barangan keperluan asas lain yang dijual pada harga promosi di pasaraya tersebut.

“Kebetulan pasaraya ini tidak jauh daripada rumah saya, jadi saya bersama suami hari ini datang awal untuk memastikan kami dapat membeli ayam yang dijual RM1.

“Alhamdulillah kami dapat membeli dua ekor ayam murah selain barangan lain seterusnya dapat berjimat,” katanya di sini hari ini.

Zuriswani berkata, dia akan datang lagi pada hari esok dan lusa bagi membeli ayam yang dijual dengan harga serendah RM1 seekor.

Suri rumah, Wan Haswida Wan Abas,39, berkata, dia berharap tawaran istimewa itu akan dilakukan lagi pada masa akan datang bagi meringankan beban kos sara hidup ketika ini.

“Alhamdulillah hari ini saya  bersama suami dapat membeli ayam yang murah, sebelum ini pun saya sentiasa mengambil kesempatan dalam setiap promosi seperti ini,”katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan BS FreshMart, Mohammad Rasul Razuan berkata, sebanyak 1,200 ekor ayam disediakan untuk jualan promosi selama tiga hari bermula hari ini.

Katanya, selain itu pihaknya juga menawarkan ayam serendah RM4.88 sekilogram selepas ayam RM1 habis dijual bermula Selasa ini.

“Selama tiga hari kita tawarkan ayam RM1 seekor dengan 400 ekor sehari dan hari ini sebanyak 400 ekor ayam habis dalam masa 30 minit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN