Pengusaha trak tunda tuntut kenaikan caj 50% - Utusan Malaysia

Pengusaha trak tunda tuntut kenaikan caj 50%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Caj tunda kenderaan di bawah syarikat insurans perlu dinaikkan antara 30 hingga 50 peratus susulan peningkatan harga diesel yang kini mencecah RM6.72 sen seliter.

Pengerusi Persatuan Trak Tunda dan Pengangkut 1Malaysia (1MTTCC), Md. Yusof Yahya berkata, kenaikan itu perlu bagi menampung kos bahan api serta penyelenggaraan yang semakin tinggi dan membebankan.

Katanya, kadar caj sedia ada di bawah syarikat insurans tidak berubah sejak lebih lima tahun lalu memberi tekanan kepada pengusaha trak tunda.

“Syarikat insurans perlu melaksanakan pelarasan harga yang lebih telus. Kadar recovery factor (menampung semula kos operasi) per kilometer sepatutnya diselaraskan mengikut harga diesel semasa dan dalam tempoh tertentu.

“Sebagai contoh, ketika harga diesel sekitar RM6.72 sen, kadar tersebut perlu ditetapkan pada satu paras yang munasabah dan apabila meningkat lagi, maka ia perlu disemak semula agar selari dengan kos operasi sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, pengusaha trak tunda kenderaan terpaksa ‘memulaukan’ tawaran perkhidmatan daripada syarikat insurans, berikutan kadar caj yang tidak sepadan dengan kos bahan api perlu ditanggung mereka.

Md. Yusof berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memainkan peranan untuk menyelaras dan memantau syarikat insurans bagi menilai keuntungan yang telah diperoleh serta memastikan pengagihan beban kos lebih adil.

“Dalam keadaan sekarang (konflik Asia Barat) semua pihak perlu bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN