NARATHIWAT (THAILAND): Penduduk Selatan Thai meminta polis trafik bertindak lebih tegas terhadap pesalah trafik dari Malaysia yang didapati memandu laju dan meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kesesakan.
Dakwa mereka, kebanyakan kenderaan Malaysia yang masuk melalui pintu sempadan di Sungai Golok dan Tak Bai menuju ke Hat Yai atau Songkhla, dipandu melebihi had kelajuan dibenarkan.
Seorang penduduk di sini, Rohana Mah, 52, berkata, kebiasaannya rakyat Malaysia memandu melebihi had 90 kilometer yang ditetapkan sekali gus membimbangkan pengguna lain, terutama yang menunggang motosikal.
“Anda boleh lihat keadaan itu di sepanjang jalan antara Sungai Golok-Tak Bai-Narathiwat atau dari Narathiwat ke Pattani dan Hat Yai.
“Selain itu, ramai rakyat Malaysia didapati meletak kenderaan mereka di tempat yang tidak sepatutnya di dalam bandar sehingga menimbulkan kesesakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini melaporkan, kegagalan memahami peraturan jalan raya Thailand dikenal pasti antara punca utama rakyat Malaysia dikenakan tindakan undang-undang kesalahan trafik ketika berada di negara itu.
Sementara itu, seorang pengusaha salun kecantikan di Hat Yai yang mahu dikenali sebagai Pittel berkata, kebanyakan pelancong Malaysia mungkin tidak faham peraturan garisan merah putih dan kuning putih di tepi jalan.
“Ramai pemandu Malaysia meletak kenderaan mereka di kawasan garis merah putih dan kuning putih. Keadaan ini banyak berlaku di sekitar Pasar Kim Yong Hat Yai.
“Ini boleh menyebabkan kesesakan. Sebenarnya kawasan ini dilarang meletak kenderaan. Kami berharap pelancong asing mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelak sebarang masalah,” ujarnya.-UTUSAN










