KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, terdahulu pihaknya telah menahan sebuah lori tiga tan yang telah diubah suai dengan tangki khas.
Katanya, lori berkenaan ditahan skuad bermotosikal KPDN Kuala Lumpur di sebuah stesen minyak di Sungai Besi di sini kira-kira pukul 1 pagi.
Hasilnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an berperanan sebagai pemandu lori ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori terbabit mendapati terdapat tiga tangki kapasiti 1,000 liter setiap satu.
“Siasatan awal tangki itu dipercayai sudah diisi 1,500 liter diesel yang diseleweng dari tiga ke empat stesen minyak sebelum pulang semua ke Seremban untuk proses pemindahan.
“Kami percaya bahan api untuk dijual semula bagi kegunaan industri,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Katanya, KPDN Kuala Lumpur telah mengenal pasti modus operandi baharu penyelewengan diesel subsidi ini iaitu dipercayai menggunakan ejen atau ‘runner’ yang menggunakan fleet card sementara pemandu lori menunggu di pam.
Katanya, semasa penahanan lori terbabit, ejen dipercayai telah melarikan diri.
“Berdasarkan semakan resit pembelian, kami percaya kegiatan ini menggunakan fleet card. Ejen akan menggunakan kenderaan lain dan berada di depan lori,”jelasnya.
Tegasnya, KPDN memberi peringatan kepada sindiket terlibat bahawa setiap modus operandi mereka akan dapat dikenal pasti.
Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sementara itu, pemandu lori terbabit ketika ditemukan mendakwa dibayar RM250 bagi setiap trip.
“Saya datang dari Seremban dan akan singgah beberapa stesen minyak hingga ke Kuala Lumpur sebelum patah balik ke Seremban.
“Setiap stesen minyak saya akan isi sekitar 150 liter diesel. Biasanya sehari saya akan buat dua trip, setiap trip akan singgah dalam enam stesen minyak,”katanya.
Tambahnya, dia juga menyedari kesalahan dilakukan namun dijerat dengan tawaran wang termasuk sanggup bagi mengubah suai lori miliknya dengan tangki khas.-UTUSAN










