SERAMAI 66 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima insentif berjumlah RM1,500 seorang pada satu majlis khas, baru-baru ini.
Insentif tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2025 yang berlangsung di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang di sini.
Menurut beliau, pemberian insentif itu merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha gigih para pelajar yang berjaya memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan berkenaan.
“Kerajaan Negeri menyumbang RM1,000 bagi setiap pelajar cemerlang manakala Yayasan Pahang menambah RM500 sebagai dorongan dan suntikan semangat untuk mereka terus berjaya,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Beliau berkata, kejayaan memperoleh keputusan cemerlang seperti 8A hingga 11A bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan komitmen tinggi, kesungguhan serta disiplin dalam pembelajaran.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan anak-anak mereka sehingga mampu mencapai keputusan membanggakan.
Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 25 pelajar MTNP dan 41 pelajar MTTNP berjaya memperoleh semua A, sekali gus menyumbang kepada kedudukan Pahang sebagai antara negeri terbaik dalam keputusan SPM 2025 di peringkat kebangsaan.-UTUSAN










