Elektrik merupakan satu bentuk tenaga yang membantu kita mempercepatkan dan memudahkan kerja sambil memberikan keselesaan dalam kehidupan harian.
Di Malaysia, kebergantungan kepada bahan api fosil untuk menjana tenaga elektrik adalah masih tinggi.
Tabiat harian dan tahap kesedaran yang rendah menjadi punca kita membazir tenaga elektrik tanpa disedari. Sebenarnya adalah mudah untuk menjimatkan tenaga elektrik.
Perkara asas adalah tutup suis jika kita tidak menggunakan peralatan. Ingat apabila keluar daripada bilik darjah untuk waktu rehat atau kelas lain, para pelajar perlu pastikan suis lampu dan kipas ditutup.
Penjimatan penggunaan tenaga elektrik akan membantu kita melindungi alam sekitar serta menjimatkan kos bil elektrik.
Faktor pertama penggunaan tenaga yang tinggi adalah penggunaan tenaga alat elektrik itu sendiri.
Contohnya, pendingin hawa menggunakan hampir 10 kali ganda tenaga elektrik berbanding dengan kipas siling.
Penyiram air mandi elektrik pula menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan elektrik pendingin hawa.
Faktor kedua, penggunaan tenaga elektrik yang tinggi adalah kuantiti alat yang kita gunakan. Lebih banyak peralatan yang kita gunakan, lebih tinggi penggunaan tenaga elektrik kita. Faktor ketiga adalah tempoh masa kita gunakan sesebuah peralatan. Lebih lama penggunaan peralatan, lebih tinggi penggunaan elektrik.
Kita juga perlu cekap dalam penggunaan tenaga elektrik. Kecekapan tenaga bermaksud sesebuah peralatan elektrik menggunakan kuantiti tenaga yang lebih rendah untuk melakukan kerja.
Sebagai contoh, jika pendingin hawa A menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah untuk menyejukkan bilik berbanding dengan pendingin hawa B, maka pendingin hawa A adalah peralatan yang cekap tenaga.
Di Malaysia, kita juga mempunyai label penarafan lima bintang yang membantu kita membeli peralatan yang jimat tenaga elektrik.
Tahukah para pelajar cara membaca label ini? Lebih banyak bintang dalam label penarafan bermaksud kita akan jimat lebih banyak tenaga elektik.
Pada masa hadapan, kos menjana tenaga elektrik akan menjadi lebih mahal disebabkan risiko bahan api yang terhad dan juga teknologi yang lebih mahal. Maka, para pelajar mesti bersama-sama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan membantu keluarga anda jimatkan perbelanjaan sambil melindungi alam sekitar.
Piarapakaran S,
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) & Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Water and Energy Sustainability (CWES)










