PUTRAJAYA: Seorang remaja lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada Januari lalu.
Tertuduh yang berusia 18 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak, Datin M Kunasundary.
Tertuduh boleh dituduh mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kunasundary kemudian membenarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes.
Hakim juga meminta tertuduh supaya melaporkan diri di balai polis terdekat pada minggu ketiga setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 dan tertuduh juga diminta supaya tidak menghampiri mangsa sehingga kes selesai.
Sebelum itu, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian memohon kepada mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan kerana penjamin yang juga abang tertuduh mempunyai pendapatan sekitar RM2,000.
Menurutnya, penjamin hanya bekerja sebagai penjaga stor dan menanggung seorang anak tiri selain kedudukan ibu bapa yang bekerja dengan pendapatan sederhana.
“Tertuduh adalah OKU masalah pembelajaran dan mempunyai kad OKU. Tertuduh juga masih bersekolah di aliran pendidikan khas vokasional di sebuah sekolah menengah di Puchong dan dijangka menamatkan persekolahan di sekolah berkenaan pada usia 20 tahun,” katanya. – UTUSAN










