PETALING JAYA: Penggunaan visa selain visa haji untuk menunaikan ibadah itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi sehingga boleh mengakibatkan tindakan undang-undang termasuk denda, penjara serta sekatan daripada memasuki Tanah Suci pada masa hadapan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, penggunaan visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah untuk tujuan menunaikan haji bukan sahaja melanggar peraturan, malah mendedahkan jemaah kepada risiko tindakan undang-undang yang serius.
Katanya, hanya jemaah yang memiliki visa haji sah dibenarkan memasuki kawasan ibadah utama seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Sebarang pelanggaran peraturan ini boleh mengakibatkan tindakan undang-undang termasuk denda, penjara serta sekatan daripada memasuki Tanah Suci pada masa hadapan
“Kemasukan ke Mekah bagi tujuan haji adalah tertakluk sepenuhnya kepada pemilikan visa haji yang sah atau dokumen rasmi seperti Iqamah dan permit kerja di kawasan Tanah Suci. Visa lawatan termasuk visa umrah, pelancongan dan perniagaan adalah dilarang sama sekali digunakan untuk menunaikan haji.
“Individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga
SR100,000 (RM130,000), manakala warga asing berdepan risiko pengusiran. Mana-mana pihak yang didapati membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga SR50,000 (RM65,000),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu melancarkan Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” bagi memastikan jemaah memiliki visa dibenarkan menunaikan ibadah haji sekali gus melindungi kebajikan individu menunaikan haji.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengambil risiko menunaikan haji secara sendiri (DIY) kerana sebarang masalah seperti kesihatan atau kecemasan tidak dapat dilindugi sewarjarnya.
“Kejayaan usaha ini turut bergantung pada tindakan bersama, kerjasama dan kesedaran masyarakat untuk sellau mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-129 memutuskan bahawa menunaikan haji tanpa visa sah adalah berdosa walaupun ibadah tersebut sah dari segi rukun dan syarat.
Katanya, dalam usaha membanteras penipuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta JAWHAR bagi menangani isu pakej haji meragukan dan kes jemaah terkandas.
“Bagi musim haji 1447H/2026M, seramai 31,600 jemaah Malaysia dijadualkan menunaikan haji melalui 100 penerbangan sewa khas bermula 18 April hingga 20 Mei manakala penerbangan pulang dijangka berlangsung antara 4 hingga 30 Jun depan,” ujarnya.- UTUSAN










