MEKAH: Jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci dikatakan rebah ketika ingin menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram, kelmarin.
Mohamad Nor Sulaiman, 65, yang berasal dari Pahang tiba ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji bersama isterinya.
Menurut menantu Allahyarham, Mohd. Norsi Shukur, bapa mertuanya meninggal dunia pada pukul 11.30 pagi di Masjidil Haram.
“Semoga Abah ditempatkan bersama-sama orang soleh dan para nabi,” katanya dalam hantaran Threads semalam.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Allahyarham dari Pahang itu merupakan jemaah haji Malaysia pertama yang meninggal dunia tahun ini.
Beliau mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas berita kehilangan itu.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa, melapangkan kuburnya, serta menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Terdahulu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Allahyarham yang berusia 65 tahun ketika itu berada di dataran Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
“Pasukan perubatan segera memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Jiwar Jabal Omar, Mekah.
“Bagaimanapun, jemaah tersebut disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah hari akibat komplikasi jantung (cardiac arrest),” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah membantu menguruskan segala urusan pengebumian Allahyarham.
“Jenazah disolatkan di Masjidil Haram selepas solat Maghrib dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Sharaea, Mekah,” katanya.
Mohd. Hisham memaklumkan, TH turut memaklumkan bahawa kebajikan isteri Allahyarham sedang diberi perhatian, selain bantuan sokongan oleh petugas kebajikan, kaunselor dan pembimbing ibadah haji. – UTUSAN










