KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menembak tiga individu hingga mati di sebuah kedai makan dekat Taman Kota Jaya, di sini pada 19 April lalu.
Tertuduh, Lim Lian, 71, mengangguk faham selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan pertama, pekebun itu dituduh membunuh Wong Poh Soon, 61, lebih kurang pukul 1.30 petang di kedai Chan Fong Moi, Jalan Delima, Taman Kota Jaya.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh wanita Vietnam Tran Thi Trang, 37, dan pertuduhan ketiga dia didakwa membunuh Chen Kwai Hwa, 64, di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Atas kesalahan itu, dia didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 13 Mei untuk sebutan semula kes selain tidak menetapkan sebarang jaminan susulan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar manakala tertuduh diwakili peguam, Belinda Low.
Jumaat lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek menembak mati ketiga-tiga mangsa menggunakan Shotgun buatan Benelli M/super dengan nombor siri M104817.
Beliau turut dilaporkan memberitahu motif utama kejadian tersebut adalah disebabkan hutang sebanyak RM50,000 yang diberikan suspek kepada wanita warganegara Vietnam bagi tujuan perniagaan. – UTUSAN










