Pasangan lakukan kelucahan melampau di kubur dibebaskan hari ini

Pasangan lakukan kelucahan melampau di kubur dibebaskan hari ini

M. Jegathesan (kiri) dan Halila Abu Bakar hadir ke Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang untuk semakan hukuman hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua individu yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana melakukan kelucahan melampau di jirat Cina di Ayer Itam di sini, dilepaskan daripada hukuman itu hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Rofiah Mohamad membenarkan semakan hukuman dan menggantikannya kepada tempoh penjara yang telah dijalani sejak tarikh ditangkap pada 23 Mac lalu.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kes jenayah terhadap M. Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, yang dibuat secara Pro bono oleh peguam Datuk Naran Singh.

Rofiah turut memutuskan bahawa sabitan kes ke atas kedua-dua tertuduh dikekalkan manakala hukuman penjara 12 bulan yang diputuskan oleh majistret diganti dengan hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 23 Mac 2026 hingga tarikh semakan dibuat hari ini.

Naran berhujah, pihaknya memfailkan notis rayuan bagi hukuman tersebut memandangkan hukuman 12 bulan bagi kedua-duanya disifatkan sebagai melampau.

“Sabitan dikekalkan, namun semakan ini hanya berkaitan hukuman. Kami berpandangan puan majistret telah terkilaf apabila menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas kedua-dua anak guam saya. Hukuman 12 bulan penjara itu terlalu melampau,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar memaklumkan, cadangan hukuman yang dikemukakan pembelaan masih berada dalam lingkungan hukuman diperuntukkan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Pada 27 Mac lalu, Jegathesan dan Halila dijatuhi penjara 12 bulan selepas kedua-duanya mengaku bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Kedua-dua tertuduh secara bersama-sama telah melakukan perbuatan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan Cina yang merupakan satu tempat awam di Batu Gantung, Ayer Itam pada pukul 8.30 pagi, 22 Mac 2026.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN