Palsu dokumen RM4 juta: Pengurus besar syarikat ditahan SPRM

Palsu dokumen RM4 juta: Pengurus besar syarikat ditahan SPRM

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lagi suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah disyaki terlibat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan berjumlah kira-kira RM4 juta.

Penahanan suspek wanita yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat peranginan dilakukan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 40-an telah ditahan selepas disyaki bersubahat dengan seorang suspek lelaki iaitu penyedia perkhidmatan akaun sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan yang direman pada Rabu lalu.

“Penahanan reman ke atas suspek berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan-tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan, yuran perakaunan serta tuntutan keraian.

“Selain mengemukakan butir matan palsu babit perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti, tuntutan pembayaran kerja-kerja landskap serta pembayaran gaji,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama empat hari sehingga 6 April ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN