MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya tidak memandang remeh kepentingan kad Nusuk yang kini menjadi dokumen wajib sepanjang berada di Tanah Suci termasuk memasuki Masjidil Haram.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, pemakaian kad Nusuk bukan sekadar pengenalan diri, sebaliknya berfungsi sebagai permit rasmi yang menentukan pergerakan jemaah di kawasan tertentu.
Katanya, kegagalan memakainya boleh menyebabkan jemaah berdepan tindakan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Seperti biasa kita tahu saban tahun akan ada peraturan baharu dan juga mungkin peraturan lama tetapi diperketatkan pelaksanaan. Contohnya penggunaan aplikasi sebagai kelulusan untuk jemaah memasuki Tanah Suci Mekah khususnya dalam Masjidil Haram.
“Jadi adalah penting supaya semua jemaah kita sentiasa menjaga keselamatan kad Nusuk dan sentiasa memakainya, mempamerinya terutama apabila berada di tempat awam, ini kerana pihak berkuasa Arab Saudi akan berada di merata-rata yang akan sentiasa semak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jemaah Haji Malaysia KT01 di Mekah bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini semalam.
Menurut Tengku Mohd Dzaraif, penguatkuasaan itu penting bagi mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah ke Tanah Haram, yang boleh menyebabkan jumlah jemaah meningkat secara tidak terkawal.
Katanya, Kerajaan Arab Saudi selaku penjaga dua tanah suci bertanggungjawab memastikan pengurusan haji berjalan lancar dan selamat.-UTUSAN










