KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang komited memperkukuhkan pembangunan negeri secara menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat bagi memastikan kemakmuran yang dirasai secara langsung oleh masyarakat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada perancangan pembangunan, malah memastikan setiap dasar dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak kepada kehidupan rakyat.
Menurutnya, rakyat kini semakin matang dalam menilai keupayaan sesebuah kerajaan berdasarkan hasil kerja dan pencapaian sebenar, bukannya sekadar janji atau retorik semata-mata.
“Kerajaan negeri yang baik bukan sahaja pandai merancang, tetapi mampu melaksanakan dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Malah, kita berjaya mengurangkan hutang negeri sejak 2018 daripada RM3.2 bilion kepada RM950 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, antara pencapaian membanggakan negeri itu ialah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang meletakkan Pahang di kedudukan kedua terbaik peringkat nasional dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08.
Selain itu katanya, seramai 617 pelajar negeri tersebut memperoleh keputusan cemerlang dengan straight A dalam semua mata pelajaran.
“Malah, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang muncul institusi pendidikan terbaik di peringkat nasional dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang berada di kedudukan keempat terbaik dengan GPS 1.06.
“Ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi gambaran masa depan negeri kerana generasi muda inilah yang akan memacu Pahang ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Bandar Lipis dan Bandar Raub turut diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026, sekali gus mencerminkan kesejahteraan kehidupan rakyat di negeri tersebut.
Menurutnya, pengiktirafan itu membuktikan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja tertumpu kepada projek berskala besar, tetapi turut memberi perhatian kepada kualiti hidup masyarakat.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh kebajikan rakyat menerusi Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Pahang yang menyalurkan sumbangan RM750 kepada jemaah haji dari negeri itu termasuk anak perantau Pahang.
Katanya, bagi tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta selain memperluaskan pemberian sumbangan kepada semua anak Pahang yang menerima tawaran haji menerusi Tabung Haji tanpa mengira lokasi pendaftaran.
“Selagi mereka anak Pahang, kebajikan mereka tetap dalam perhatian kerajaan negeri. Inilah pendekatan kita, dasar yang praktikal, adil dan menyentuh kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN










