KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Kristal, Rody Kristal tampil menjelaskan pendiriannya berhubung penganjuran Konsert Kristal OG, sekali gus menepis kenyataan bekas vokalis, Lan Kristal yang sebelum ini mengaitkan namanya.
Menurut Rody, dia tidak memahami rasional di sebalik penganjuran konsert tersebut yang didakwa membawa konsep ‘original’ sedangkan barisan anggota yang terlibat tidak mencerminkan identiti asal kumpulan itu.
“Sejujurnya saya tidak faham kenapa perlu ada Konsert Kristal OG atau Crystal Original ini. Apa sebenarnya tujuan konsert tersebut, sedangkan barisan yang ada hanyalah seorang sahaja?
“Di mana Izal dan Ainol? mereka juga tidak bersama. Jadi, apa yang hendak dikatakan sebagai ‘original’ dalam konteks ini?” katanya dalam satu hantaran video.
Rody menegaskan, kumpulan Kristal yang wujud hari ini masih membawa kesinambungan identiti asal, meskipun mengalami perubahan anggota termasuk vokalis.
“Kristal yang ada sekarang ini masih Kristal yang sama seperti dahulu, cuma penyanyi kita kini ialah Ewal. Saya sendiri masih membawa nama Kristal ini sejak dari awal, bermula seorang diri, kemudian berkembang dengan kehadiran ahli lain, bertukar-tukar anggota sehingga ke hari ini.
“Untuk pengetahuan semua, Kristal diasaskan oleh arwah bapa saudara saya, Pak Din. Jadi bagi saya, Kristal itu adalah saya dan saya adalah Kristal. Ia bukan sekadar nama yang boleh diletakkan sewenang-wenangnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rody berpandangan bahawa penganjuran konsert berskala besar atas nama Kristal masih belum sesuai buat masa ini kerana kumpulan tersebut masih dalam proses memperkukuhkan legasi muzik mereka.
“Pada saya, Kristal belum sampai tahap untuk mengadakan konsert besar. Jika dilihat, jumlah album dan lagu sendiri kami masih terhad dan kebanyakan masa kami banyak membuat persembahan.
“
Sasaran saya adalah untuk menjadikan Kristal sebagai sebuah legasi besar seperti Wings atau Search, yang mampu berdiri atas nama sendiri dengan karya sendiri.
“Itulah matlamat sebenar saya, bukan sekadar mengadakan konsert untuk menyatukan anggota lama semata-mata,” katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk Lan untuk meneruskan perjalanan masing-masing dalam industri muzik, termasuk penggunaan nama berkaitan Kristal.
“Saya tidak pernah bising atau menghalang sesiapa, termasuk penggunaan nama seperti Kristal X atau menyanyikan lagu-lagu Kristal. Masing-masing ada haluan sendiri. Kalau mahu buat persembahan, silakan. Periuk masing-masing, masing-masing jaga.
“Tetapi apabila cuba disatukan semula dalam satu konsert, ia seolah-olah menafikan usaha saya membina semula Kristal dari bawah. Saya bermula semula selepas melalui pelbagai kecaman, dan kini sedang berusaha menyiapkan lagu-lagu baharu serta merancang hala tuju kumpulan ini,” jelasnya.
Tambah Rody, keutamaan dia kini adalah membina semula kekuatan jenama Kristal dengan menarik sokongan peminat baharu, selain memastikan kumpulan itu terus relevan dalam industri muzik tempatan.
“Untuk pergi lebih jauh, kami perlu membina peminat baharu, bukan hanya bergantung kepada yang lama. Apabila perkara seperti ini timbul, ia boleh menimbulkan salah faham dan melaga-lagakan keadaan.
“Saya menghormati rakan-rakan lama, tiada masalah untuk berkawan, tetapi untuk bekerjasama semula, rasanya sudah tidak sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, Rody turut berharap semua pihak dapat menghormati pendiriannya serta usaha yang sedang dilakukan demi kelangsungan kumpulan tersebut.
“Saya harap semua pihak dapat menghormati saya, Kristal dan rakan-rakan yang ada sekarang. Kristal merupakan antara kumpulan rock yang masih bertahan di Malaysia dan saya ingin teruskan legasi ini.
“Kepada yang terus menyokong, saya ucapkan terima kasih dan harap sokongan itu berterusan,” katanya.










