KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ di sekitar ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pihak DBKL juga telah menjalinkan kerjasama dengan pihak polis bagi mencegah aktiviti tersebut.
“Buat masa ini tindakan tersebut turut melibatkan rampasan peralatan yang digunakan oleh individu terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Setiap operasi yang dijalankan turut menyaksikan sekurang-kurangnya lima individu ditahan bersama peralatan masing-masing sebagai sebahagian tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Memorandum Kerjasama (MoC) antara CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dan DBKL di Institut Latihan DBKL, hari ini.
Tambah Fadlun, pengumuman berkenaan operasi itu secara berkala turut dilakukan di kawasan tumpuan sebagai langkah meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelancong agar lebih berwaspada.
Katanya, pengumuman tersebut dilakukan pada setiap sepuluh minit bagi memberi pesanan kepada pelancong luar agar mereka tidak diperdaya oleh kumpulan ulat foto tersebut.
“Pengumuman tersebut dilaksanakan dalam lima bahasa agar semua pelancong dapat memahami pengumuman disampaikan kepada pelancong luar.
“Selain itu, pengawasan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) turut dipertingkatkan dan buat masa kini tiada keperluan untuk memperkenalkan lesen kepada jurufoto ini.
“Buat masa ini langkah penguatkuasaan itu dilihat berkesan apabila aktiviti ulat foto menunjukkan sedikit penurunan di beberapa lokasi tumpuan pelancong,” katanya. – UTUSAN











