OKU bersyukur terpilih tunaikan haji

OKU bersyukur terpilih tunaikan haji

SALEHA Mohd. Sahak membuat persiapan haji sebagai persediaan ke Tanah Suci di kediamannya di Batu Caves, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran bersyukur dapat terpilih menjadi bakal jemaah haji bagi musim 1447H/2026M.

Saleha Mohd. Sahak, 58, berkata, dia sangat teruja untuk menunaikan haji kali ini dan menganggap peluang diterimanya merupakan rezeki Allah SWT kepadanya.

“Tiga tahun lalu saya memang berharap untuk dipilih menunaikan haji, namun tidak sangka Allah SWT beri rezeki untuk menjadi tetamu-Nya pada tahun ini.

“Saya telah membuat persediaan awal dari pelbagai aspek termasuk bekalan ubat-ubatan yang disarankan oleh doktor serta nasihat pihak Tabung Haji (TH) sejak bulan Ramadan lalu bagi memastikan kelancaran urusan ibadah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada masa sama, Saleha mengakui khuatir tidak dapat mendengar penjelasan dengan jelas ketika berada di Tanah Suci.

Namun dia bersyukur kerana turut akan ditemani anaknya, Nur Amira Ismail, 32, yang akan membantu sepanjang berada di sana

Sementara itu, seorang lagi bakal jemaah haji, Ili Rashidah Mohd Mustafa, 36, berkata, dirinya tidak menyangka terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini sehingga dihubungi pihak TH.

“Ibu saya buka akaun TH sejak saya masih kecil lagi jadi setiap kali dapat duit raya atau duit lain saya akan terus masukkan ke akaun tersebut,” katanya.

Menurut Ili Rashidah, dia akan berlepas awal pada 23 April ini dan telah mula membuat persiapan seperti membeli barangan keperluan secara berperingkat sejak Februari lalu bagi memastikan persediaan berjalan lancar.

Dalam pada itu, bakal jemaah haji muda, Fatin Nur Hidayah, 25, berkata, persiapan menunaikan ibadah haji telah dimulakan sejak kecil apabila ibu bapanya membuka akaun TH dan membuat caruman tetap bagi dirinya serta adik-beradik.

“Ibu bapa saya memainkan peranan penting dengan mencarum RM10 setiap bulan ke dalam akaun anak-anak mereka sehingga membolehkan saya terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Buat masa sekarang, selain persediaan ilmu tentang ibadah haji, saya akan juga sedang membuat persiapan yang lebih tertumpu kepada kekuatan fizikal dan mental,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN